08 February 2010

Inovasi Mendominasi Dunia


Mark Zuckerberg - Founder Facebook!


Oleh MOHD FAIZAL AZIZ

KITA telah memasuki tahun baru 2010 selepas 2009 melabuhkan tirai. Kedatangan tahun baru kebiasaannya memberi semangat dan azam baru kepada manusia untuk berubah dan melakukan anjakan dalam kehidupan.

Selain itu, ada yang berpendapat bahawa diri mereka sendiri perlu melakukan inovasi dalam segenap aspek kehidupan untuk mencapai cita-cita yang diimipikan. Istilah inovasi berkait rapat dengan perkataan seperti ciptaan, kreativiti dan imaginasi.

Inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan. Dengan kata lain ia bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

Di zaman ini inovasi menentukan siapa yang berjaya atau pun tidak. Produk dan barangan yang inovatif yang terhasil dari proses inovasi akan mendahului yang lain. Kelebihan sesuatu produk yang inovatif boleh mengubah sesebuah industri. Idea yang kadang kala kecil dan dipandang ringan namun setelah melalui inovasi yang betul menjadikkannya hebat dan berkesan.

Hari ini inovasi bukan sahaja menjadi kunci dan rahsia kejayaan bagi sesebuah syarikat, malah ia juga berperanan melonjakkan negara-negara yang dahulunya kecil dan mundur menjadi negara maju.

Lihat sahaja negara-negara seperti Singapura, Finland, Denmark dan Ireland yang suatu masa dahulu merupakan negara-negara kecil namun meningkat maju dengan mendadak dan menduduki carta negara maju dengan keupayaan inovasi dan pembaharuan yang dilakukan oleh mereka.

Bagi negara membangun, cabaran utama untuk kekal bersaing menjadi negara maju ialah melalui inovasi. Ia perlu dipastikan supaya berada ditahap yang terbaik. Falsafah inovasi bagi sesebuah negara membangun perlu menjadi tulang belakang yang dapat mengubah sistem pentadbiran, hala tuju sains dan teknologi serta keupayaan saintis dan penyelidik di dalam negara tersebut.

Malaysia juga tidak terkecuali. Dunia pada masa akan datang amat bergantung kepada keupayaan untuk melakukan inovasi dalam setiap aspek bagi mengekalkannya di tahap terbaik. Kita telah memasuki tahun baru 2010. Sepuluh tahun yang lalu, Internet baru sahaja mula berkembang di Malaysia.

Pada waktu itu, masih belum ramai individu yang memiliki talian Internet melainkan di pejabat-pejabat kerajaan atau sektor industri. Teknologi Internet merupakan satu contoh inovasi yang mengubah dunia pada hari ini.

Internet boleh dianggap sebagai sungai besar yang mengalirkan sebarang ilmu dan maklumat berguna atau pun sekadar sampah sarap di dalamnya.

Sebelum teknologi Internet dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di dunia, ia merupakan teknologi yang digunakan oleh pihak ketenteraan Amerika sekitar tahun 1940-an sewaktu Perang Dunia Kedua untuk menghubungkan jaringan sistem pertahanan mereka.

Selepas perkembangan pesat Internet bermula lewat tahun 1990-an, banyak produk-produk berasaskan web dimajukan dan dijadikan alat untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.

Bayangkan dunia pada hari ini tanpa kemudahan Internet seperti 15 tahun yang lampau, tentunya kehidupan sangat berbeza dengan apa yang kita alami kini. Internet memenuhi segala-galanya dalam dunia moden hari ini yang merangkumi aspek penyebaran maklumat, kemudahan emel, hiburan, tayangan video, audio dan perniagaan.

Lihat sahaja bagaimana enjin carian Internet terkenal Google mendominasi dunia. Google yang mula menemui pengguna pada tahun 1998 memperkenalkan kaedah pencarian maklumat di Internet dengan cara yang begitu unik melalui inovasi dan kreativiti dua anak muda dari Stanford University, California Amerika Syarikat (AS) iaitu Sergei Brin dan Larry Pages.

Kedua-dua mereka ini menjadi jutawan ketika usia belum mencapai 30 tahun. Sehingga kini, Google terus berkembang pesat dan terus melakukan inovasi dengan memperkenalkan produk-produk terbaru mereka.

Majalah Forbes melaporkan bahawa Google merupakan sebuah syarikat teknologi berasaskan Internet yang paling pesat berkembang dan paling berpengalaman dalam sejarah dunia. Ketika diwawancara dalam sebuah program temu bual Internet, pemilik Google, Sergei Brin dan Larry Pages menyatakan bahawa mereka tidak mencipta sesuatu yang baru, tetapi melakukan inovasi terhadap produk yang sedia ada. Sebelum kemunculan Google, enjin carian Internet yang paling terkenal ialah Yahoo!, Excite dan Altavista.

Selain Google, pengguna Internet terus dihidangkan dengan aplikasi laman interaksi sosial yang begitu fenomena pada hari ini iaitu Facebook. Ia dicipta oleh seorang remaja iaitu Mark Zuckerberg ketika masih bergelar penuntut di University Harvard.

Bermula pada tahun ia dilancarkan iaitu pada tahun 2004 sehingga kini, ia mencatatkan bilangan pengguna aktif yang berjumlah 350 juta orang. Zuckerberg kini menjadi jutawan muda hasil daripada pelancaran laman Facebook tersebut.

Ketika ditanya tentang idea ciptaaannya, beliau menegaskan bahawa ia terhasil daripada keinginan untuk melakukan inovasi terhadap laman-laman web Internet sosial yang sedia ada seperti Friendster, Orkut, MySpace dan sebagainya.
Salah satu lokasi yang paling terkenal dan subur melahirkan syarikat-syarikat gergasi dunia yang kreatif dan inovatif dalam bidang teknologi, komunikasi dan teknologi maklumat ialah Silicon Valley di California.

Di sanalah tempat berkembangnya syarikat gergasi dunia seperti Oracle, Sun Microsystem, Intel, AMD, Yahoo!, Cisco, Apple, eBay, YouTube,, Twitter, Google, Facebook dan sebagainya.

Kejayaan Silicon Valley yang muncul sejak lebih 50 tahun yang lampau menjadi contoh dan teladan kepada negara-negara lain yang ingin membangunkan ekonomi mereka berasaskan inovasi dan kreativiti.

Google dan Facebook adalah antara dua contoh di antara puluhan produk-produk yang tercipta hasil dari kreativiti dan inovasi di dalam dunia Internet. Dalam bidang-bidang lain seperti sistem pengangkutan, perniagaan, penyelidikan dan penyampaian maklumat manusia terus melakukan inovasi bagi memperbaiki kualiti dan produk yang sedia ada..

Malaysia berada di landasan yang tepat apabila mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Inovasi Negara. Jelas bahawa masa hadapan negara terletak kepada sejauh mana budaya inovasi diamalkan dalam setiap aspek kehidupan daripada pentadbiran negara sehinggalah kepada pengurusan diri.

Fakta-fakta ringkas

i. Inovasi bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

ii. Apple Inc. merupakan sebuah syarikat pengeluar komputer dan gajet elektronik yang banyak melakukan inovasi terhadap produk mereka.

iii. Syarikat pengeluar perabot dan peralatan rumah terkenal IKEA merupakan sebuah syarikat yang kreatif melakukan inovasi.

iv. Silicon Valley yang terletak di California merupakan sebuah kawasan yang paling terkenal dengan syarikat-syarikat gergasi di dunia yang banyak melakukan inovasi untuk produk mereka seperti Intel, Google, Yahoo!, Facebook,YouTube, eBay dan Twitter.

v. Istilah silikon merujuk kepada kawasan di mana banyak pereka cipta dan pengeluar cip silikon yang kemudian membentuk jaringan perniagaan berteknologi tinggi.

vi. ARPANET yang pada mulanya digunakan dalam sistem pertahanan ketenteraan di Amerika dalam Perang Dunia ke-2 telah melahirkan INTERNET pada hari ini setelah inovasi dilakukan ke atas sistem rangkaian tersebut selama lebih 30 tahun.

vii. Google merupakan laman web yang paling ramai dikunjungi oleh pengguna Internet di abad ini.
viii. Pengguna aktif Facebook sehingga Disember 2009 direkodkan berjumlah 350 juta orang dan dijangka akan terus meningkat dengan mendadak di masa akan datang.

Penulis ialah Pegawai Sains di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
Related Posts with Thumbnails