21 June 2010

Mahu Elak Bayi Tidak Normal.


KESUBURAN wanita bermula daripada usia baligh dan tamat apabila mencapai menopaus. Usia lazim kebanyakan wanita mencapai menopaus adalah di antara 50 hingga 51 tahun, namun ada yang masih didatangi haid walaupun sudah mencapai usia 55 tahun.

Pada usia anda, tahap kesuburan semakin berkurangan. Kemungkinan anda hamil masih ada namun kebarangkaliannya kecil berbanding usia anda 10 tahun lalu. Seseorang yang masih didatangi haid tidak semestinya subur pada setiap bulan kitarannya.

Anda dan wanita lain hanya menghasilkan telur sewaktu peringkat janin dalam kandungan ibu saja. Setelah lahir ke dunia, tiada lagi telur baru dihasilkan. Kumpulan telur dari peringkat janin ini yang menjadi bekalan anda sepanjang hayat.

Ia menjadi semakin berkurangan walaupun sebelum kanak-kanak itu baligh. Kemudian, ia akan terus berkurangan kerana pada setiap bulan berikutnya, sekumpulan kecil telur ini akan digunakan untuk melalui proses pembesaran seterusnya walaupun akhirnya hanya satu saja telur (ovum) yang berjaya dikeluarkan manakala selebihnya dibazir begitu saja.

Pada usia anda, baki telur yang ada semakin sedikit sehingga ia habis digunakan, malah tidak semestinya telur berjaya keluar pada setiap bulan.

Isu bayi tidak normal memang menjadi topik utama apabila membincangkan kehamilan pada usia lewat. Secara logiknya, semakin lama tempoh sesuatu itu terdedah kepada suatu keadaan atau persekitaran, ia semakin berisiko untuk mendapat kesan daripadanya.

Memandangkan telur wanita adalah seusia hayatnya, maka pada usia 48 tahun, ini bermakna telur anda sudah terdedah kepada persekitaran dunia selama itu. Ini meningkatkan risiko ia mengalami renjatan atau mutasi genetik pada bahan kromosomnya sehingga memberi kesan terhadap pembentukan sifat janin sama ada secara sifat fizikal atau fungsi.
Sebilangan kecacatan kromosom tidak mampu bertahan sehingga menyebabkan keguguran atau kematian dalam kandungan, sebilangan lain pula selamat dilahirkan, tetapi mengalami gangguan pembentukan organ, pembesaran serta fungsinya kelak.

Contoh sindrom yang sering dikaitkan dengan usia adalah sindrom Down (Trisomi 21). Pada usia anda, risikonya seorang dalam 14 orang berbanding wanita berusia 40 tahun (seorang dalam 106 orang) dan wanita berusia 34 tahun (seorang dalam 500 orang) serta wanita berusia 29 tahun (seorang dalam 1,000 orang).

Selain sindrom Down, terdapat juga sindrom lain yang turut meningkat risikonya dengan peningkatan usia wanita seperti Trisomi 13 dan Trisomi 18.

Anda dan suami perlu memikirkan kesannya serta persiapan atau kesediaan menghadapinya sekiranya ia berlaku, dari saat ia dikesan dalam kandungan sehingga selepas dilahirkan serta apabila bayi ini meningkat usia dewasa kelak.

Tiada cara untuk mengelak kehamilan kerana tiada cara untuk mengelak usia kita daripada menjadi semakin meningkat tua. Begitu juga, asid folik bukanlah ubat kesuburan, tetapi sejenis vitamin B yang didapati menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang pada bayi seperti spina bifida. Ini tiada kaitan dengan usia.

Pil Clomid dan pil lain yang mengandungi bahan Clomiphene citrate hanya dinamakan ubat kesuburan kerana ia berpotensi meningkatkan bilangan telur yang berjaya membesar dalam sesuatu kitaran haid wanita.

Tanpa menerusi ubat ini, wanita lazimnya hanya mengeluarkan satu saja ovum pada setiap bulan kitarannya kerana telur lain “mengalah”, ini adalah normal.

Kadangkala, tiada langsung ovum yang dikeluarkan, walaupun dengan pengambilan pil terbabit kerana ia tidak semestinya berkesan untuk semua wanita. Pil ini juga tidak dapat mengelakkan mutasi jika berlaku pada telur.

Sukar untuk menjalankan ujian pengesahan kecacatan sebelum kehamilan kerana ia memerlukan teknologi tinggi dinamakan pre-implantation genetic diagnosis (PGD) atau pre-implantation genetic screening (PGS) yang hanya dapat dilakukan sekiranya anda menjalani persenyawaan tabung uji (IVF).

Pada masa sama, terdapat had PGD atau PGS boleh dilakukan seperti di kebanyakan negara lain bagi mengelakkan tujuan salah guna. Ujian lain seperti ujian darah anda serta ujian ke atas sampel darah janin atau air ketuban hanya dapat dilakukan setelah terjadinya kandungan.

Anda juga perlu membincangkan perkara lain yang berkaitan dengan kehamilan pada usia ini seperti kesannya terhadap anda dan proses kehamilan itu sendiri misalnya penyakit darah tinggi, uri bawah dan risiko lain.

Sumber...
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahuelakbayitaknormal/Article/indexp_html.

Related Posts with Thumbnails