23 May 2010

Inter Milan Juara Liga Juara-Juara Eropah 2009/2010.


Inter Milan melengkapkan trofi kejuaraan kelab dari Itali itu apabila menumpaskan Bayern Munich 2-0 pada aksi akhir Liga Juara-Juara Eropah 2009/2010 di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Inter memmpersembahkan permainan menakjubkan termasuk pejaga gawang, Julio Cesar bagaimanapun pemain yang harus diberi pujian ialah penyerang Argentina, Diego Milito yang menyumbatkan kedua-dua gol bagi memastikan kemenangan Inter ke atas Bayern di Madrid.

Gol-gol Milito memang memeritkan anak-anak buah Louis Van Gaal selepas dia memusnahkan sepenuhnya pertahanan Daniel van Buyten khususnya gol kedua pada minit ke-70.

ni merupakan aksi pertama di akhir Liga Juara-Juara sejak tahun 1972, kejayaan pagi tadi juga merupakan trofi Eropah yang ketiga sejak yang pertama pada tahun 1965.

Pasukan itu juga merupakan kelab Itali yang pertama yang mencapai kejayaan menakjubkan dengan trofi Serie A, Piala Itali dan terkini Liga Juara-Juara Eropah.

Perancang utama Inter, Jose Mourinho mengakui bahawa perlawanan akhir itu adalah yang terakhir sebelum meneroka cabaran baru iaitu menjadi jurulatih pertama menjuarai gelaran Eropah melalui dua kelab berbeza.

Tahniah lah...

15 May 2010

Doakan Guru Tanda Kasih Sayang.


Oleh Amran Zakaria

Jasa pendidik curah ilmu tidak mungkin terbalas dengan segunung harta

TARIKH 16 Mei tiap tahun penting dan cukup bermakna kepada negara. Hari yang diraikan khusus untuk mengingati segala budi dan jasa guru dalam menggerakkan masyarakat ke arah pembinaan bangsa dan negara.

Merujuk istilah Arab, seorang guru itu hasil daripada gabungan lima eleman penting membabitkan muallim, murabbi, mursyid, muaddib dan mudarris. Muallim bermaksud orang yang menjayakan proses menyampaikan ilmu, murabbi pula orang yang menjayakan tarbiyah, mursyid orang yang membimbing, menentukan kehidupan dan nilai yang betul, muaddib orang yang menjayakan adab manakala mudarris orang yang mengajar mata pelajaran.

Pemimpin negara hari ini sememangnya pernah menjadi murid yang menerima tunjuk ajar serta didikan seorang guru. Begitu juga dengan agamawan, ahli korporat, golongan profesional dan pelbagai peringkat masyarakat pernah menerima khidmat sekumpulan guru yang dipertanggungjawabkan menyampaikan ilmu.

Ilmu yang diterima itu berperanan meneropong kehidupan masa depan mereka. Rasulullah bersabda maksudnya: “Kelebihan orang yang berilmu berbanding `abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang.” (Riwayat Abu Daud dan At -Tirmizi).

Sepatutnya, sebagai warga yang rasional dan waras, kita sentiasa dalam apa jua keadaan perlu mengenang kembali erti pengorbanan guru yang pernah mendidik dan membantu membina sahsiah. Mereka yang mengajar sehingga kita berupaya membaca dan menulis serta kelangsungan membuka minda, membajai daya dan menyusur keupayaan akal kita.

Akhirnya menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini. Oleh itu tarikh keramat ini tidak wajar dilupakan sesiapa sama ada seorang pemimpin yang berkuasa atau pun hanya seorang rakyat jelata.

Allah berfirman maksudnya: “Allah akan meninggikan (darjat) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu pengetahuan di antara kamu dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Majadalah :11)

Guru sebenarnya melaksanakan tanggungjawab amat besar dalam menyampaikan risalah ilmu kepada manusia keseluruhan. Peranan mereka mengeluarkan masyarakat yang rendah minda dan pengetahuan kepada masyarakat yang berilmu, kreatif dan berinovasi sewajar dihormati serta mendapat penghargaan tinggi dari negara.

Sebagai murid yang menerima banyak ilmu yang diajar guru, kita seharusnya merendahkan diri sebagai tanda menghormati kewibawaan dan keilmuan yang mereka miliki. Segala pangkat dan kedudukan kita hendaklah dibatasi adat dan nilai yang dituntut agama.

Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya.”

Betapa Saidina Ali seorang yang terkenal dengan alim dan berilmu itu memberi penghormatan dan menganggap orang yang hanya mengajar satu huruf adalah guru dan baginda rela menjadi hamba untuk berkhidmat kepada guru itu. Sewajarnya kita yang memang cetek dan serba kekurangan dalam bidang ilmu pengetahuan serta banyak menerima pengajaran akan lebih memberi sanjungan, penghargaan dan kemuliaan setinggi-tingginya terhadap mereka yang banyak berjasa itu.

Imam Ahmad ibn Hambal pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar: “Aku tidak akan duduk kecuali di sampingmu. Beginilah kita disuruh supaya merendahkan diri kepada guru kita.”

Rasulullah bersabda bermaksud: “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu.” (Riwayat Abu Hurairah)

Guru adalah sebagai model terhadap orang di bawah pimpinan. Setiap sifat, gerak-geri, tingkah laku, tutur kata, tata cara hidup selalunya menjadi ikutan oleh pelajar dan masyarakat sekeliling. Justeru, guru mesti berwibawa dan dapat memberi contoh yang baik dalam semua hal.

Guru membina sahsiah dan membentuk nilai manusia melalui penjanaan modal insan. Oleh itu, kita sendiri tidak mungkin dapat membalas sepenuhnya jasa guru kita. Jasa guru akan terus bersambung selagi ada generasi yang ingin menerima ilmu. Sumbangan mereka tidak pernah putus. Sekali dia menjadi guru, selamanya dia akan dipanggil guru. Jika dulu dia adalah guru kita, mungkin sekarang dia adalah guru kepada keturunan kita. Tidak ada satu anugerah walau sebesar manapun dapat membalas jasa guru, hatta dibayar dengan segunung harta mahupun sejumlah wang ringgit membalas setiap ilmu yang diterima.

Seiring kemajuan dan pembangunan zaman, derap langkah guru mengembangkan amanah negara dalam mempertahankan nilai budaya menjadi tugas yang semakin utama serta amat mencabar. Tugas ini bukan mudah untuk disempurnakan melainkan dilakukan dengan cekal dan sabar terutama dalam melayani kerenah murid yang mempamerkan pelbagai watak yang amat berbeza dari semasa ke semasa.

Dari generasi ke generasi selepas merdeka, didapati berlaku kesinambungan tugas dan tanggungjawab yang dipikul generasi guru tanpa bantahan dan kerenah yang boleh menghalang matlamat pendidikan. Ertinya mereka melakukan tugas dengan penuh amanah dan integriti.

Kita mesti mengingatkan diri supaya menghargai jasa dan pengorbanan mereka. Jangan sekali-kali akibat kemewahan pembangunan negara yang dikecapi ini, kita dengan mudah memadamkan jasa guru kepada kedudukan kita kini.

Jangan sesekali kita lupa bahawa guru yang meletakkan asas pendidikan yang ulung di negara ini sehingga warganya mampu menggerakkan landasan pembangunan negara kini. Namun tanpa kita sedari, sebahagian daripada mereka telah meninggalkan kita. Meninggalkan jasa dan nama yang sukar dipadamkan.

Doa sememangnya cara terbaik menyatakan penghargaan atas usaha guru yang telah meninggalkan kita. Sesungguhnya jasa mereka mengajar kita tidak mungkin terdaya kita balas biar sekeras mana sekali pun kita berusaha.

Selain menghormati dan menunaikan hak mereka, hanya doa yang dapat kita panjatkan ke hadrat Allah sebagai tanda kita mengasihi mereka dan mengharapkan keredaan Allah ke atas diri mereka.

Dengan berdoa juga, kita akan dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai murid iaitu memastikan kehidupan guru kita penuh dengan keberkatan dan keselamatan. Bahkan dengan doa inilah kita akan dapat mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dengan guru kita itu selama ini yang kita masih dapat mengesannya atau yang pergi meninggalkan kita.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

01 May 2010

Seruan menjadi pelapor rasuah.

Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina@kosmo.com.my

APABILA Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menggariskan rasuah sebagai salah satu teras utama yang harus diperangi, ia secara tidak langsung mempamer sisi gelap sektor perkhidmatan awam yang tidak pernah lekang dengan imej rasuah di pelbagai peringkat.

Peletakan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada jurusan NKRA tersebut jelas menunjukkan kerajaan mempunyai sasaran khusus untuk mengukur usaha dan pencapaian dalam memerangi gejala itu untuk satu tempoh masa yang dijanjikan.

Namun, apabila kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan KPI, adakah rakyat bersedia untuk bersama menggembleng tenaga dan usaha bagi merealisasikan hasrat itu?

Kepincangan dalam organisasi barangkali wujud hanya disebabkan sedikit individu yang menjadi racun kepada pembangunan organisasi secara keseluruhan. Bukan sahaja rasuah, tetapi produktiviti dan kemahiran yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan.

Lalu apakah formula terbaik yang harus digabungkan bagi mengembalikan imej penjawat awam yang bukan sahaja bebas rasuah, tetapi pada masa sama mempunyai kredibiliti dan kualiti yang mampu menganjak negara ke satu tahap menghampiri pencapaian negara maju?

Sudah pasti kesemua hasrat ini perlu melibatkan komitmen yang mendalam dan tuntutan yang besar daripada keseluruhan penjawat awam bagi melaksanakan sesuatu yang betul walaupun sukar.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, imej perkhidmatan awam sudah lama tercemar dengan gejala rasuah membabitkan penjawat di pelbagai peringkat.

"Bila sebut sahaja rasuah, masyarakat akan fokus kepada perkhidmatan awam seolah-olah semua aktiviti rasuah yang berlaku membabitkan sektor perkhidmatan awam.

"Di sana sini media melaporkan kegiatan rasuah dan individu-individu dalam perkhidmatan awam yang ditangkap tetapi individu yang memberi rasuah lepas begitu sahaja," katanya.
Menurut Omar, beliau tidak mahu sektor perkhidmatan awam dicap sebagai perasuah dan mahu semua pihak menggembleng usaha bagi memulihkan imej sektor berkenaan daripada terus tercemar.

"Saya menyeru semua penjawat awam supaya sama-sama memerangi rasuah dengan menjadi pelapor rasuah. Sekiranya penjawat awam bekerjasama sudah pasti gejala ini dapat diperangi dengan lebih berkesan.

"Sempena Hari Pekerja 2010, jadikan ia sebagai era baru bagi meletakkan ranking rasuah paling rendah di dalam sektor perkhidmatan awam di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. Tahun ini sambutan Hari Pekerja tahun ini memilih tema, Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi.

Tambah Omar, beliau mahu melihat kadar rasuah menurun sehingga 20 peratus pada 31 Disember ini selepas tiga tahun berturut-turut menunjukkan perubahan positif kadar rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini kadar rasuah telah turun pada kadar yang memberangsangkan dan saya mengharapkan perkembangan berterusan dapat dilihat sehingga tahun 2010 berakhir.

"Cuepacs juga menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melancarkan perang rasuah hingga ke akar umbi," katanya.

Dalam pada itu Cuepacs tidak pernah menutup ruang rundingan bagi menyampaikan hasrat dan menyuarakan permasalahan penjawat awam kepada pihak kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Cuepacs sentiasa boleh berjumpa dengan pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah penjawat awam tetapi cepat atau lambat ia tertakhluk kepada keadaan ekonomi semasa.

"Sekiranya ekonomi bagus, tidak berlaku ketirisan dan penjawat awam menunjukkan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan, sudah pasti permasalahan-permasalahan itu akan didengar oleh kerajaan," katanya.

Gaji minimum

Pendapat itu turut disokong oleh Presiden Persatuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang mahu penjawat di sektor awam dan swasta menyokong model ekonomi baru Malaysia yang berteraskan peningkatan produktiviti pekerja sekali gus meningkatkan tahap pendapatan mereka.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan menetapkan gaji baru yang tinggi tanpa melihat kepada peningkatan prestasi dan produktiviti pekerja, ia ibarat resipi kegagalan kepada sesebuah organisasi.

"Peningkatan pendapatan pekerja mestilah seimbang dengan peningkatan produktiviti dan ia tidak akan berlaku tanpa perubahan cara bekerja dan peningkatan kemahiran yang pelbagai sebagaimana dicapai negara-negara maju.

"Justeru, saya berharap kesatuan pekerja mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran melalui pensijilan oleh pihak kerajaan supaya mereka yang berkelayakan mendapat imbuhan yang sewajarnya," jelasnya.

Katanya lagi, perubahan-perubahan berkenaan perlu supaya pekerja di Malaysia tidak ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan negara-negara maju.

"Singapura mencapai produktiviti 3.8 kali ganda berbanding Malaysia dan kita juga mensasarkan untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk pastikan pendapatan perkapita sebanyak RM25,000 setahun kini kepada RM48,000 pada tahun 2020.

"Namun, penilaian harus dilihat di kedua-dua belah pihak dan tidak hanya menumpu kepada pendapatan tanpa melihat aspek daya saing di kalangan penjawat awam dan swasta," katanya.
Berhubung perkara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perjuangan MTUC belum selesai dan akan meneruskan tuntutan-tuntutan kepada pihak kerajaan iaitu kadar gaji minimum, tabung pekerja yang diberhentikan, umur tamat tempoh perkhidmatan dan tempoh cuti bersalin.

"MTUC masih meneruskan agenda-agenda yang tertangguh sekian lama iaitu menuntut gaji minimum sebanyak RM900 dan elaun gaya hidup sebanyak RM300. Tetapi rombakan gaji tidak bermaksud mereka yang sudah melepasi gaji RM900 perlu kembali kepada jumlah gaji ini.

"Selain itu, MTUC juga terus memperjuangkan tabung untuk membantu mereka yang diberhentikan daripada perkhidmatan atas faktor ekonomi supaya mereka dibantu sehingga mendapat pekerjaan lain," katanya.

Di samping itu, umur 60 tahun dilihat munasabah untuk tamat dalam perkhidmatan berbanding 55 tahun ketika ini ekoran peningkatan jangka hayat iaitu 72 tahun bagi lelaki dan 76 tahun perempuan.

Hak pekerja

Setiausaha kepada Pengerusi Affin Holdings Berhad, Tiny Azleen Yahaya, 32, berkata, meskipun terdapat Akta Kerja 1955 yang memberi garis panduan tentang hak dan pampasan pekerja, tetapi ia tidak merangkumi keseluruhan peringkat pekerja.

"Perlu satu garis panduan khusus yang perlu dimeterai antara majikan dan pekerja tentang hak, peruntukan, faedah, manfaat, pampasan serta perlindungan setiap pekerja.

"Selain daripada faktor kewangan dan manfaat lain, hak pekerja dari segi lain-lain kemudahan juga amat perlu dititik beratkan. Antaranya caruman KWSP, Perkeso, perlindungan insurans dan pengekalan kedudukan kerja itu sendiri," katanya.

Sempena Hari Pekerja 2010 katanya, dia berharap pekerja dan majikan tahu tanggungjawab masing-masing bukan sahaja bagi memastikan keuntungan kepada pihak sendiri malah juga kepada kerajaan dan kestabilan ekonomi negara.

"Kedudukan ekonomi yang stabil pasti dapat membantu memberi kesejahteraan kepada masyarakat dan kemajuan kepada negara," katanya.

Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datin Romaizah Abdul Kadir, 34, pula berkata, pekerja meluluskan infrastruktur dan persekitaran yang kondusif sebagai galakan untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi mereka.

"Sebagai pekerja dalam sektor awam saya berharap untuk dapat bekerja dengan lebih efisien melalui sistem organisasi yang lebih teratur dan meyakinkan masyarakat.

"Khasnya dalam gerakan koperasi, kami penjawat awam serius untuk membantu rakyat dalam pembangunan sosio-ekonomi melalui gerakan koperasi," katanya.

Tambahnya, dia mahu kehadirannya dapat menyumbang kepada pembangunan organisasi dan klien serta dihargai majikan, kerana dari situlah datangnya kepuasan bekerja.

Pegawai Perhubungan Industri, Mahadi Sibon, 33 pula berpendapat, pekerja di Malaysia masih dianggap bertuah kerana tidak begitu terkena tempias krisis ekonomi tetapi masih banyak perkara yang perlu diperjuangkan.

"Kerajaan harus mengambil berat hak pekerja dari segi perlindungan gangguan seksual di tempat kerja, hak gaji minimum dan hak berpersatuan.

"Saya juga berharap sempena Hari Pekerja 2010 semua pekerja di Malaysia dapat meningkatkan produktiviti dan menyokong model ekonomi baru yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia," katanya.

Related Posts with Thumbnails