21 March 2010

Larangan lakukan seksaan bunuh binatang


IMAM an-Nawawi rahmatullah ‘alaih meletakkan satu tajuk di dalam kitabnya Riyadus Solihiin iaitu: “Pada menyatakan haram menyeksa binatang dengan api.” Di antara hadis yang terkandung dalam tajuk itu ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah yang berkata, “Rasulullah SAW pernah mengutus kami dalam satu pasukan dan Baginda bersabda, “Apabila kamu sekalian mendapatkan Fulan dan Fulan iaitu dua orang Quraisy yang Baginda sebutkan namanya, maka bakarlah dengan api.” Kemudian ketika kami hendak berangkat, Baginda bersabda, “aku tadi menyuruh kalian untuk membakar Fulan dan Fulan, tetapi sesungguhnya tidak selayaknya menyeksa dengan api kecuali Allah SWT. Oleh itu, apabila kamu menemui kedua-duanya, maka bunuhlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari no.2853)

Begitu juga sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Ibn Masud, beliau berkata: “Ketika kami bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan dan Baginda berhajat (ke belakang), tiba-tiba kami melihat seekor burung yang mempunyai dua anak, kemudian kami mengambil kedua-dua anaknya itu, lantas ibunya datang dengan terbang berputar-putar. Kemudian Nabi SAW datang dan bersabda, “Siapakah yang mempermainkan burung itu dengan mengambil anaknya?” Kembalikan anak burung itu kepadanya.”
Baginda melihat ada sarang semut yang kami bakar, kemudian Baginda bertanya, “Siapa yang membakar sarang ini?” Kami menjawab: “kami”. Baginda bersabda: “ Sesungguhnya, siapa pun tidak layak menyeksa sesuatu dengan api kecuali Tuhan api itu sendiri.” (Riwayat Abu Daud no.6277)

Kesimpulannya, jika saudara hendak membunuh haiwan itu, carilah cara yang boleh mematikannya dengan cepat dan tidak menyeksa.
"Sesungguhnya Allah SWT sudah menetapkan agar berlaku ihsan kepada semua. Apabila kamu hendak membunuh, maka perelokkanlah cara membunuh dan apabila kamu hendak menyembelih, hendaklah perelokkan cara menyembelih..."

Riwayat Muslim

Ini kerana Allah SWT sudah memerintahkan agar berlaku ihsan pada makhluk-makhluk-Nya sebagai mana sebuah hadis, daripada Syaddad bin Aus, daripada Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT sudah menetapkan agar berlaku ihsan kepada semua. Apabila kamu hendak membunuh, maka perelokkanlah cara membunuh dan apabila kamu hendak menyembelih, hendaklah perelokkan cara menyembelih…” (Riwayat Muslim no.5167). Wallahua’lam.

Oleh : Ustaz Zahazan Mohamed

Ibnu Sina tokoh perubatan Islam diperakui dunia


IBNU Sina adalah doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan saja diperakui dunia Islam tetapi juga sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussain Ibnu Abdullah. Di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.

Ibnu Sina dilahirkan pada 370 Hijrah bersamaan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fikah dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor atau mahaguru ilmu berkenaan. Ibnu Sina mula terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas Al-Samani yang gagal diubati doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran Al-Syeikh Al-Rais (Mahaguru Pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun Fil Tabib diterbitkan di Rom pada 1593 sebelum dialihbahasakan ke bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu dicetak ke dalam 15 bahasa. Pada abad ke-17, buku itu dijadikan sebagai bahan rujukan asas di universiti Itali dan Perancis. Malah, sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh pelajar perubatan.

Ibnu Sina juga menghasilkan buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan saja dan turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, filologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.
Di samping menjadi unggul dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul Al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi aliran falsafah al-Farabi yang menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile) dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur ini. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina turut menapis teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang ada dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Pemikiran Ibnu Sina turut mencetuskan kontroversi dan disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat Al’Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan Al-Farabi.

Antara percanggahan yang diutarakan oleh Al-Ghazali ialah kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan Al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.

Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak dapat dinafikan. Bahkan beliau dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam.


Sumber: Berita Harian...Justify Full

18 March 2010

Kenapa Perlu Keluar, Takutkah Hah!!

Assalamualaikum wrb dan salam sejahtera.

Saya seronok bila tingu perbahasan di dewan parlimen pada hari ini 17 Mac 2010. Kenapa seronok...... baca cerita di bawah!! Hehehhe


Hari ini dalam ucapan sulong MP Bayan Baru Datuk Zahrain secara live membuat kejutan dengan mendedahkan bagaimana Anwar Ibrahim menipu dan bohong wakil-wakil rakyat di dalam Pakatan Rakyat ketika projek 16 September yang dilakukannya untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika itu dipimpin oleh Pak Lah .

Zahrain mendakwa bahawa MP-MP Pakatan ketika itu diberitahu bahawa YDP Agong sedang menunggu di Istana untuk mendapatkan kenyataan jumlah Ahli Parlimen BN yang melompat bagi membolehkan pihak pembangkang membentuk kerajaan . Selain itu, katanya YDP Agong merestui Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang keenam . Dakwanya lagi , mereka juga disogokkan cerita kononnya Panglima Angkatan Tentera dan tentera memberi sokongan pembentukan kerajaan oleh Pakatan diketuai Ahli Parlimen Prmtg Pauh .

Pendedahan terbaru Zahrain ini membuatkan dewan kecoh seketika dengan panglima2 Anwar seperti Tian Chua & Gobala bangun pertikai pendedahan Zahrain dan MP BN pulak membantah pertikaian mereka ini . Ketika itu , riak wajah Anwar memang merah padam dan beliau tidak tahu nak berkata apa-apa lagi lalu tiba-tiba kelihatan mahu meninggalkan dewan ketika Zahrain membuat pendedahan.

Yang syok itu , ketika Anwar mahu cabut lari, MP - MP BN menjerit "jangan keluar, jangan keluar" ketika melihat tindakan Anwar keluar dewan.

Jadi, sebenarnya Anwar Ibrahim @ Pak Sheikh Prmtg Pauh ini bukanlah hebat mana pun. Tak perlu takut pun dengan Pak Sheikh ini kerana dia pun manusia. PB pun kadang-kadang hairan masih lagi ada pemimpin2 UMNO takut untuk hantam & krititik Anwar Ibrahim ini .Anwar hanya berani dihadapan penyokongnya saja kerana mereka ini akan percaya bulat-bulat apa yang Anwar cakap walaupun benda itu tak betul pun dan hanya spin semata-mata.

Sumber : Pejuang Bangsa (http://sejarahmelayu.blogspot.com/)

Mengkritik Bangsa Melayu


Pendeta Zaaba (1895-1973)

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

CATATAN sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke-18 orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, Hikayat Abdullah (1840-an) mengandungi pandangan beliau tentang beberapa adat, kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai antara penyebab kemunduran bangsa Melayu. Di antara yang disebutnya adalah kepercayaan kepada hal-hal khurafat dan tahyul, sikap memandang ringan terhadap usaha membaiki mutu hidup dan sifat hasad dengki sesama bangsa.


Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba (1895-1973), tokoh bahasa, budayawan dan cendekiawan Melayu juga mengkritik keras fenomena kemunduran orang Melayu. Pandangan dan kritikan beliau itu boleh diteliti di dalam bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (DBP, 1982). Beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.

Pada awal abad ke-20, lahir gerakan kesedaran membela nasib bangsa Melayu yang dipimpin oleh beberapa tokoh islah dan tajdid seperti Syed Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syeikh Ahmad'Al-Hadi, Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohd Kalim al-Kalali. Golongan yang dikenali sebagai 'Kaum Muda' ini lebih responsif terhadap perubahan yang berlaku ketika itu. Mereka menyedari kemunduran umat Melayu bukan sahaja dalam soal sosioekonomi tetapi juga dalam kebekuan ilmu termasuk ilmu agama yang banyak diresapi ajaran-ajaran khufarat yang merugikan orang Melayu.

Lidah rasmi mereka, majalah Al-Imam (1906 - 1908) yang diterbitkan di Singapura bertujuan menyedarkan orang Melayu supaya segera melakukan perubahan. Seperti yang dicatat oleh Abdul Aziz Mat Ton, peranan Al-Imam adalah untuk 'mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjaga mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat' (Jurnal Sejarah, Jilid XI,1973/73). Malah, Al-Imam ketika itu sudah pun menyeru umat Melayu supaya melihat dan mencontohi pembaharuan yang berlaku di negeri Jepun.

Seruan-seruan itu dibuat kerana keadaan hidup orang Melayu pada awal abad ke-20 sangat mundur dalam semua bidang. Demikian juga akhbar Saudara yang diterbitkan sekitar tahun 1928-1941 turut mengkritik umat Melayu, di samping membela nasib mereka. Di antara tokoh-tokoh penting penerbitan akhbar tersebut ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd. Yunus Abdul Hamid, Syed Sheikh al-Hadi dan Syed Alwi Syed Sheikh Ahmad al-Hadi. Mereka banyak menyeru orang Melayu supaya memajukan diri dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai kehidupan sosial ynag lain.

Sekitar tahun 1930-an hingga 1940-an pula, lahir banyak persatuan dan pertubuhan Melayu yang cuba menyedarkan orang Melayu supaya membuat perubahan. Mereka bergerak dalam berbagai pendekatan daripada kebudayaan, sosial, pendidikan sehinggalah kepada perjuangan politik. Ketika orang Melayu disuntik kesedaran oleh pemuka-pemuka tajdid bangsa, masyarakat Cina pula sudah pun aktif dalam sistem ekonomi kapitalis yang bersumberkan modal serta mementingkan keuntungan.

Kelahiran UMNO pada tahun 1946 berjaya menyatukan orang Melayu dari pelbagai pertubuhan. Bangsa Melayu mula menunjukkan semangat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Gagasan Malayan Union yang ingin dilaksanakan oleh British menjadi pemangkin menyatukan orang Melayu di bawah perjuangan UMNO. Ramai cendekiawan, budayawan, sasterawan, usahawan dan agamawan Melayu ketika itu menyokong perjuangan UMNO.

Di awal tahun 1970-an iaitu selepas tragedi 13 Mei, usaha untuk memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula digerakkan. Untuk menggerakkan minda orang Melayu, maka gabungan tenaga intelektual dan pemimpin politik Melayu diketuai Datuk Senu Abdul Rahman menerbitkan buku Revolusi Mental (1970) yang dihasilkan ketika era Tun Razak (1970-1976). Pada tahun 1970 juga, Tun Dr. Mahathir Mohamad menulis sebuah buku yang berjudul The Malays Dilemma yang turut mengkritik kelemahan Melayu. Melayu dilihatnya terpinggir dan dimarjinalisasi di tanah air sendiri sebagai warga kelas dua.

Perubahan orang Melayu mula menjadi realiti selepas diperkenalkan DEB. DEB telah melahirkan ramai profesional Melayu seperti dalam sektor perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perbankan, pendidikan, keusahawanan dan pelbagai bidang lain yang sebelum ini dikuasai oleh kaum lain. Namun, setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita masih terus membicarakan masa depan bangsa Melayu. Bukankah bangsa Melayu telah mengalami anjakan dan transformasi dalam hampir semua bidang kehidupan hasil perjuangan UMNO?

Memang keadaan bangsa Melayu ketika ini tidaklah seburuk era penjajahan. Kemerdekaan telah memberikan kedaulatan dan kebebasan kepada kita untuk mentadbir dan mengurus negara. Bagaimanapun, pelbagai halangan dan cabaran seperti ketirisan dalam pelaksanaan DEB, politikus dan pentadbir yang tidak amanah, perpecahan Melayu yang semakin meruncing kesan daripada pertelingkahan politik, wujudnya petualang politik Melayu, cabaran ekonomi global dan halangan psikologi bangsa Melayu yang semakin keliru dengan identiti dan jati dirinya memerlukan kita merangka dan merencana anjakan baru bagi mengatasi cabaran yang lebih kompleks sifatnya. Wujudnya pelbagai masalah itu menyebabkan bangsa Melayu terus dikritik oleh bangsanya sendiri.

Tidak salah kita mengkritik diri sendiri selagi ia bertujuan menimbulkan kesedaran. Apa yang penting adalah pihak yang mengkritik biarlah berpada-pada dalam kritikan, sementara yang dikritik harus bersedia menerima kritikan serta menunjukkan sikap mengakui kesilapan. Namun, pastinya bangsa Melayu berasa terhina apabila kaum lain turut menempelak dan mengkritik beberapa hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Kita masih boleh menerima kritikan yang positif dan membina tetapi bukannya mencabar dan mempersoalkan hak kita.

Justeru, cadangan untuk menghapuskan hak Melayu sama ada secara nyata atau secara halus melalui pelbagai tuntutan sama ada yang diputuskan dalam resolusi-resolusi parti tertentu atau pun melalui memorandum adalah sikap yang melampau. Orang Melayu harus menghadapinya dengan tegas dan berani dalam bentuk tindakan yang berstrategi.

Ia memerlukan kepimpinan Melayu yang benar-benar beramanah dan memiliki minda strategik yang hebat. Kesungguhan politik (political will) sangat diperlukan dalam hal ini. Demikian juga pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang semakin banyak wujud hari ini yang memiliki cita-cita untuk mempertahankan hak-hak Melayu mestilah konsisten dan terus komited dalam perjuangan.

Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang ingin bangkit daripada kelemahan dan kejatuhan memerlukan empat kekuatan iaitu keyakinan terhadap kebolehan diri, kepimpinan yang amanah, solidariti yang mantap dan disiplin yang tinggi. Keempat-empatnya memainkan peranan besar dalam ketahanan bangsa. Harapan kita, biarlah semua pemimpin Melayu dari parti mana sekali pun dapat duduk semeja untuk berbincang secara ikhlas dari hati ke hari ke arah membina semula kekuatan Melayu yang hari ini semakin terhakis kesan daripada pelbagai pertentangan politik sesama bangsa.


Sumber : http://www.utusan.com.my/

Ikhtibar Dri Persekitaran


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Sudah lama rasanya saya tidak kemaskini blog ini. Bukannya sengaja saya tidak masukkan cerita tetapi kekangan kerja yang agak banyak menghadkan saya untuk mencuri masa mencari cerita seterusnya memasukkan cerita tersebut ke dalam blog ini. Namun demikian, saya akan terus berusaha untuk mengupdate blog ini dari masa ke semasa.

Di antara perkara yang dapat melapangkan dada dan menghilangkan masalah diri ialah berjalan. Maksudnya, bersiar-siar melihat pemandangan indah dan menarik serta menyaksikan keluasan dunia ini. Betapa tidak, sebab kita akan melihat taman, sungai, tasik, kebun, sawah, bukit-bukau, gunung-ganang dan sebagainya.

Segeralah keluar dari tempat persembunyian anda seperti bilik, rumah dan pejabat seterusnya cuba daki bukit-bukau, gunung-ganang, panjat pokok yang tinggi, teguk air yang jernih dan hidu keharuman bunga-bungaan di taman. Pada masa itulah kita akan berasa bebas dan merdeka seperti burung-burung yang terbang di udara.

Mengurung diri tidak kiralah dalam bilik, rumah atau pejabat bersama kekosongan jiwa merupakan cara berkesan untuk membunuh diri. Justeru, mengapa kita menyerahkan diri kepada kesusahan dan kemurungan? Tidakkah kita sepatutnya menyatukan pandangan, pendengaran dan hati untuk menggesa diri kita sendiri.

Para doktor juga mengesyorkan kepada mereka yang bermasalah untuk berjalan-jalan ke tempat indah yang tidak pernah dikunjungi.

Wallahulam...

08 March 2010

Sistem giliran untuk guru luar bandar

08/03/2010 3:57pm

KUALA LUMPUR — Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.
Katanyam dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat.
Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar. - Bernama
Related Posts with Thumbnails