19 April 2010

Panas Cetus Perilaku Agresif.


Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

PANAS, panas, panas! Cuaca panas, hati pun panas. Benarkah peningkatan suhu juga boleh meninggalkan kesan psikologi, mempengaruhi tingkah laku manusia dengan menjadikan mereka bertambah agresif?

Jika di negara-negara Barat, kajian mengenainya bukan sedikit dilakukan dalam tempoh lebih sedekad lalu. Malah, istilah gangguan akibat perubahan musim atau seasonal affective disorder (SAD) sudah agak sinonim dengan negara-negara Barat yang mengalami empat musim.

Dianggarkan setengah juta rakyat England mengalami kemurungan tahunan setiap kali musim salju yang berlaku antara September dan April. Keadaan ini berpunca daripada ketidakseimbangan biokimia di dalam bahagian otak yang dipanggil hipotalamus.

Sementara itu, isu pemanasan global dan Kyoto, ozon yang semakin menipis, paras laut yang kian meningkat, gurun yang semakin terbentang luas dan rumah hijau - turut menyumbang kepada kajian demi kajian bagi memahami hubungan langsung di antara kehangatan suhu dengan perilaku manusia.

Pernahkah anda berkurung atau tidur di dalam sebuah bilik yang agak panas khususnya pada musim kemarau ini? Kipas atau alat penghawa dingin sekalipun kurang membantu. Apakah perasaan anda ketika itu? Jangan hendak sengelat. Sekurang-kurangnya anda akan berasa kurang selesa dan serba tidak kena, bukan?

Berdasarkan kajian makmal yang dilakukan oleh sekumpulan pakar psikologi sosial, hanya dengan berada di dalam sebuah bilik dengan suhu yang lebih hangat boleh menukar seseorang itu menjadi lebih pemarah. Hasilnya adalah berbeza jika mereka ditempatkan di dalam ruang yang lebih menyelesakan. Bukan itu sahaja, pemikiran-pemikiran agresif juga boleh tercetus. Ini terbukti menerusi kajian makmal berasingan di mana pasangan yang diajukan dengan sedikit provokasi cenderung untuk mencederakan di antara satu sama lain.

Demikian juga halnya dengan mereka yang bekerja dalam persekitaran panas yang akan menyumbang kepada tindak balas lebih bersifat permusuhan terhadap apa-apa jua yang boleh menimbulkan kemarahan dan menyakitkan hatinya.

Penyelidikan saintifik berkenaan isu ini di luar negara juga sudah mencapai tahap di mana tumpuan diberikan terhadap keganasan dan kegiatan jenayah. Malah, kadar jenayahnya adalah berbeza-beza mengikut tempat di mana kawasan lebih panas mencatatkan aktiviti itu yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, hari, bulan, musim mahupun tahun-tahun tertentu juga didapati boleh menghasilkan kadar jenayah yang lebih daripada biasa. (Journal of Personality, Vol. 73, No. 6, 1213 - 1223, isu Disember 1997).

Pakar Runding Psikiatri dan Psikoterapi, Jabatan Perubatan Psikologikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Stephen T. Jambunathan mengakui kaitan yang sudah lama wujud di antara faktor persekitaran dengan tingkah laku manusia. Bagaimanapun, dalam konteks iklim semasa, beliau menjelaskan:

``Memang ada hubung kait di antara cuaca panas dengan tingkah laku manusia selain ancaman kesihatan yang boleh membawa maut disebabkan oleh cuaca panas terik.

``Walaupun bukan secara langsung, namun, mana-mana perubahan persekitaran yang radikal seperti daripada sejuk ke panas atau sebaliknya, mungkin menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah pengubahsuaian,'' katanya.

Menurutnya, masalah-masalah yang mungkin dihadapi adalah seperti kurangnya rasa toleransi, tolak ansur atau timbang rasa, lekas marah dan mengalami tekanan. Keadaan-keadaan tersebut seterusnya mendorong seseorang membuat keputusan-keputusan yang kurang waras dan bertentangan daripada kelazimannya.

``Masalah pengubahsuaian ini boleh terjadi khususnya kepada seseorang yang tiada kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru.

``Mereka tidak berapa kebal, tidak mempunyai jiwa atau semangat yang kental, mudah goyah ataupun mudah sensitif lebih daripada orang lain,'' kata Dr. Stephen.

Ditanya apakah yang membezakan tahap penerimaan seseorang terhadap sesuatu perubahan itu, katanya, semua hal minda dipengaruhi oleh tiga faktor penting atau ringkasnya biopsikososial:

i) Biologikal; genetik seperti bapa yang panas baran
ii) Psikologikal; cara berfikir seseorang yang mempengaruhi bagaimana tindak balas mereka terhadap orang lain
iii) Sosiologikal; persekitaran seperti perubahan alam sekitar, dibuang kerja, berhadapan dengan penyakit.

Seseorang individu yang sememangnya dipengaruhi oleh faktor-faktor di atas akan cuba `memelihara' diri sendiri secara salah seperti naik angin dan bukannya dengan mencari suasana lebih sejuk untuk menenangkan diri sendiri. Jika keperluan itu gagal diperoleh, akan menambahkan lagi kekecewaan mereka dan memburukkan keadaan bagi yang sedia mempunyai penghakiman negatif, kata beliau.

Mengulas kegiatan jenayah yang dikatakan agak menjadi-jadi serta kaitannya dengan suhu panas yang luar biasa kebelakangan ini, Dr. Stephen mengakui:

``Suhu yang panas juga boleh menyebabkan pemikiran-pemikiran yang agresif sehingga mereka berani melanggar undang-undang.

``Untuk pengetahuan, kebanyakan jenayah yang dilakukan bukan berpunca daripada masalah minda (mental yang tidak sihat) tetapi lebih kepada personaliti atau persekitarannya,'' ujar beliau.

Mengenai sama ada ia turut membabitkan perubahan hormon, memetik seorang pakar psikologi dari University of Glamorgan, Dr. Lance Workman yang berjaya mewujudkan kaitan di antara suhu panas dengan tahap serotonin.

Bahan kimia neurotransmiter yang dirembeskan di dalam otak itu memberikan kesan sampingan terhadap tindak-tanduk agresif.

Sekadar memetik beberapa hipotesis kepanasan di luar negara.

Pakar psikologi, Iowa State University, Dr. Craig Anderson mendedahkan, seseorang menjadi marah di antara satu sama lain, bergaduh dan ada kalanya sampai ke tahap membunuh disebabkan oleh suhu yang panas.

Pendek kata, psikologi seseorang itu lebih mudah bangkit dan terusik disebabkan oleh kepanasan.

``Satu-satu pertelingkahan itu lazimnya tidak bermula dengan insiden besar tetapi beberapa siri provokasi kecil.

``Dan peningkatan kebangkitan perasaan negatif itu tidak akan terhenti di situ sahaja tetapi biasanya akan mencapai satu tahap yang lebih tinggi,'' katanya. Malah, jelas penyelidik dari Amerika Syarikat itu lagi, peningkatan sekadar dua darjah fahrenheit sahaja boleh menyebabkan penambahan sehingga 24,000 kes bunuh dan yang bersifat serangan di negara itu sahaja.

Secara umumnya, kajian Rotton mendapati, insiden jenayah berat terhadap sesama manusia seperti menyerang, merompak, bunuh dan rogol meningkat selaras pertambahan suhu. Keganasan rumah tangga suami terhadap isteri juga termasuk di dalam kategori ini di mana ia lebih banyak berlaku semasa musim panas.

Sebaliknya, insiden jenayah terhadap harta benda seperti kecurian kenderaan serta pecah rumah didapati tidak berkenaan dengan perubahan suhu.

Sementara itu, satu penyelidikan lain yang disiarkan di dalam International Journal of Law and Psychyatry, Boyanowsky berkata, suhu yang lebih sejuk meningkatkan rangsangan seksual kaum lelaki.

``Satu fakta yang sememangnya diketahui umum bahawa kehangatan berupaya memusnahkan hormon seks utama lelaki iaitu testosteron.

``Jadi, mandi mungkin cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini,'' kata pakar kriminologi dari The Simon Fraser University itu.

Berbalik kepada Dr. Stephen, beliau berkata, bagi mengatasi masalah ini secara peribadi, langkah pertama adalah untuk menyedari akan risiko yang mungkin dihadapi dengan perubahan-perubahan cuaca yang tidak menyelesakan ini.

Contohnya, kecenderungan untuk tidak mencapai kata sepakat dan konfrontasi.

``Sekiranya kita berada di dalam keadaan tertekan dan dalam masa yang sama, cuaca tidak membantu, kita sepatutnya menangguh keputusan-keputusan besar.

``Seboleh-bolehnya, elakkan daripada melibatkan diri dalam situasi-situasi yang boleh menambahkan ketegangan ini sehingga kita kembali tenang,'' katanya.

Yang penting sekali, ujar Dr. Stephen, adalah supaya kita memahami bahawa orang lain juga mungkin menghadapi masalah mereka sendiri.

Oleh sebab itu, mereka menunjukkan tindak balas yang tidak sepatutnya.

``Jika kita pula memberikan maklum balas yang serupa, maka akan timbullah masalah yang lebih buruk.

``Cuba latih tubi minda kita bahawa orang lain juga ada masalah seperti mana kita (ada masalah), ini akan menjadikan kita seorang yang lebih memahami sekali gus mengurangkan potensinya,'' katanya.

Sumber :http://www.eng.ukm.my

10 April 2010

Fenomena ‘Abad untuk Global’ persaingan antara Asia, Barat


Oleh Guy Sorman

2010/04/10

MUNGKIN ramai tidak ambil peduli atau tidak tahu sebenarnya abad ke-21 ini adalah ‘Abad Untuk Asia’ dan petanda perubahan kuasa dunia politik/ekonomi sudah beralih dari Barat ke Timur. China sudah menggantikan Jerman sebagai pengeksport utama dunia, manakala syarikat gergasi Korea Selatan, Korean Electric baru-baru ini memenangi tender menewaskan saingan utamanya, Electricite de France dari Perancis, untuk membina tiga reaktor nuklear di Abu Dhabi.

Lebih meyakinkan apabila statistik perdagangan China mencerminkan kekuatan eksportnya berbanding import, manakala reaktor Korea Selatan pula menggunakan teknologi Westinghouse. Kejayaan Asia tidak boleh diperlekehkan, selepas beberapa kerajaan berjaya menangani krisis kewangan baru-baru ini. Cara mereka mengubah krisis kepada peluang, mengukuhkan semula mekanisme pasaran bebas.

Contohnya, Korea Selatan berjaya membantu golongan miskin serta menyusun semula pasaran buruhnya, pada ketika Amerika Syarikat dan Eropah, gagal berbuat sedemikian. Bagaimanapun, masih awal untuk melabelkan ini sebagai ‘Abad untuk Asia’.

Mungkin daerah pesisir pantai Korea Selatan, Jepun, Vietnam dan China Timur, yang berkongsi beberapa karakter budaya dan strategi ekonomi yang hampir sama. Tetapi daerah tengah dan barat China masih diselubungi kemiskinan; Indonesia pula mencatat budaya dan suasana ekonomi berbeza; manakala India memiliki kekuatan tersendiri.

Suasana dan persekitaran negara Asia lain juga berbeza antara satu sama lain; ada antaranya menjunjung demokrasi, manakala ada bahagian lain menjalani sistem pemerintahan kuku besi. Apa yang jelas ialah tidak wujud satu sistem ekonomi Asia.

China sebagai sebuah negara kapitalis tidak disenaraikan dalam kategori kapitalisme persendirian yang dipraktik di Jepun dan Korea Selatan. Sebahagian besar India masih kekal dengan ekonomi pertanian, disulami dengan perniagaan kecil dan sektor perkhidmatan dinamik. Asia juga tidak memiliki sebuah pusat pentadbiran, mereka tidak memiliki institusi pengurusan yang boleh dibandingkan dengan negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) atau Kesatuan Eropah (EU).

Ini penting, kerana negara Barat secara relatif lebih aman, berbanding banyak negara Asia mengalami konflik, seperti Pakistan yang mengalami konflik dalaman serta turut terpalit dengan konflik negara-negara jirannya; sementara negara yang mengelilingi Laut China Selatan sentiasa dihantui kebimbangan akan diheret dalam konflik.
Hakikatnya, jika suatu masa nanti tentera Nato dan Amerika Syarikat membuat keputusan meninggalkan Asia, ancaman perang akan meningkat, perdagangan akan terjejas dan ekonomi Asia yang dinamik hari ini akan musnah. Justeru, adalah sukar untuk percaya kewujudan ‘Abad untuk Asia’, apabila keselamatan negara Asia bergantung kepada pasukan keselamatan bukan dari benua ini.

Satu lagi kelemahan Asia berpunca daripada ketiadaan inovasi baru , satu halangan besar kepada usaha untuk memiliki ekonomi dinamik. Eksport China (sehingga hari ini) mencatat begitu sedikit nilai tambah, tetapi tenaga buruh murah yang besar; produk canggih yang dikeluarkan seperti telefon bimbit sudahpun dikuasai dunia Barat.

Jepun dan Korea Selatan lebih kreatif, tetapi masih di peringkat memperbaiki produk dan perkhidmatan yang memang asalnya dicipta di Barat. Kelemahan Asia dalam inovasi mungkin berpunca daripada sistem pendidikan, berikutan ramai pelajar benua ini apabila berpeluang ke universiti di Amerika Utara dan Eropah, mengambil keputusan untuk tidak pulang ke negara masing-masing. Kira-kira 80 peratus pelajar China di Amerika Syarikat tidak pulang ke negara mereka.

Dalam banyak hal, kemajuan dicapai Asia sebenarnya adalah cermin kepada perubahan hidup mereka kepada nilai-nilai Barat. Nilai Barat terutama membabitkan kapitalisme, demokrasi, individualistik, kesaksamaan gender dan sekularisme semakin galak diguna pakai di Asia.

Memang benar, ramai menempelak penggunaan nilai Barat di Asia, ada pula yang mempromosi apa yang dipanggil nilai Asia, seperti ‘prinsip harmoni’.
Bagaimanapun, semua usaha ini dilemahkan dengan mereka yang memiliki agenda politik. Contohnya, nilai harmoni adalah konsep falsafah yang kaya daripada ajaran Buddha dan Confusius dan ia patut diberi penghargaan lebih baik daripada disesuaikan dengan pemikiran komunis atau pemerintahan kuku besi yang menghalang demokrasi.

Ramai juga kesal kerana tiada usaha bersungguh-sungguh di India untuk memastikan falsafah dan semangat Mahatma Gandhi, seorang daripada ahli pemikir teragung dunia pada abad ke-20, terus segar.

Ramalan ‘Abad Untuk Asia’ ini juga tidak mempedulikan negara-negara Asia yang merosot dan sentiasa huru hara seperti Thailand dan Jepun. Ia tidak boleh bergantung kepada kejayaan ekonomi tempatan, tanpa mengambil kira kesan yang lebih luas membabitkan budaya dan strategi.

Bagaimanapun, kelemahan Asia tidak bermakna jaminan kepada dominasi Barat. Bersandar faktor keseragaman, nilai budaya, industri hiburan dan kekuatan tentera, negara Barat mengekalkan kekuatan mereka, tetapi bukan untuk selamanya.

Apabila kita cuba membuat perbandingan secara relatif antara kuasa Barat dan Timur, kita masih bergantung kepada perkataan yang tidak lagi boleh digunakan. Kriteria yang ada hari ini juga mungkin tidak lagi boleh diguna pakai untuk zaman sekarang. Contohnya, perkataan seperti ‘ekonomi nasional’ tidak lagi relevan hari ini.

Hampir semua produk dan perkhidmatan sudah memasuki era global. Lagi canggih sesuatu produk atau perkhidmatan, lebih pantas identitinya sebagai produk nasional akan hilang. Tiada lagi perbezaan antara telefon bimbit di Barat dan Timur, begitu juga dengan perkataan yang digunakan dalam sistem kewangan. Apabila China membeli bon perbendaharaan Amerika Syarikat, siapa yang bergantung kepada siapa?

Pertukaran teknologi mencetus keterbergantungan. Apabila Asia berkembang, Barat pula tidak menjadi semakin miskin. Mulai hari ini, kita maju bersama, atau semua kita tidak akan maju sama sekali. Tiada lagi ada percanggahan antara Barat dan Asia apabila membabitkan ancaman keselamatan global, seperti keganasan dan negara yang terbabit dengan industri nuklear.

Justeru, kita bukan memasuki ‘Abad Untuk Asia’, sebaliknya kita sedang memasuki ‘Abad Untuk Global’. Tetapi disebabkan tamadun global satu fenomena baru, membuatkan kita masih belum benar-benar memahami apa yang sedang berlaku.

Kita masih bergantung kepada konsep lama apabila menggambarkan dunia yang baru muncul ini. Ia mungkin bukan satu dunia yang lebih baik, tetapi ia adalah satu dunia yang berbeza.

Penulis ialah pengarang buku Economics Does Not Lie, juga ahli falsafah dan ekonomi Perancis.

06 April 2010

Demam Denggi!


Hampir setiap tahun wabak demam denggi dilaporkan melanda Malaysia seolah-olah masalah ini tidak mampu diselesaikan. Pelbagai kempen kesedaran dan penerangan tentang bahaya denggi dan nyamuk aedes dijalankan, namun ia seperti mencurah air ke daun keladi. Apakah kempen kesedaran tidak meninggalkan bekas di hati dan minda masyarakat atau kempen itu sendiri yang gagal adalah dua perkara yang perlu dipersoalkan. Hakikatnya, saban tahun negara akan dikejutkan dengan kematian disebabkan denggi. Kita masih lagi dikejutkan dengan berita pemergian allahyarham pelakon dan pelawak terkenal tanahair Din Beramboi baru-baru ini disebabkan oleh denggi. Kita juga tentu masih tidak dapat melupakan laporan kematian kanak-kanak dan orang dewasa pada pertengahan 2009 disebabkan oleh masalah yang sama.

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa. Nyamuk aedes boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat dua jenis nyamuk aedes yang membawa virus denggi iaitu Aedes aegypti mempunyai tanda atau tompok putih-perak di kepala yang terbang di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah manakala Aedes albopictus menunjukkan terdapat garisan putih-perak di sepanjang pertengahan kepala dan badan, lebih gemar berada di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Kedua-dua jenis nyamuk ini mempunyai persamaan melalui tabiat bertelurnya iaitu lebih gemar bertelur di dalam bekas yang menakung air. Demam denggi berpunca dari nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti dan membawa virus denggi di dalam badannya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia semasa proses menghisap darah. Sebaik sahaja seseorang itu digigit, virus denggi akan memasuki dan beredar di dalam aliran darahnya, maka bermulalah penyakit ini.

Memandangkan penyakit ini berlaku di kebanyakan negara tropikal yang terletak di garisan khatulistiwa, sejumlah 2 bilion penduduk di negara-negara ini dibimbangi terdedah kepada denggi. Infeksi denggi mungkin berupa Asymptomaticatau dan Symptomatic, yang mungkin membawa kepada jenis demam denggi tertentu. Dalam perubatan moden, demam denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus denggi (virus Flavivirus) yang dibawa oleh nyamuk. Individu yang sihat cenderung menghidap penyakit ini menerusi gigitan nyamuk aedes yang mengandungi virus denggi. Antara jenis demam yang kerapkali disebut-sebut ialah demam tanpa mengalami sebarang gejala iaitu denggi klasik (Classical Dengue Fever). Dalam kes ini pesakit mengalami demam kuat selama empat hingga tujuh hari, sengal tulang yang diikuti dengan munculnya bintik-bintik merah di bawah kulit. Demam denggi berdarah (Dengue Haemorrhagic Fever atau Dengue Shock Syndrome) pula mempunyai gejalanya yang hampir sama dengan denggi biasa namun pesakit akan mengalami pendarahan pada hidung, lipatan siku, mulut. Demam denggi berdarah amat merbahaya dan boleh membawa kepada risiko kematian. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan kawasan tertentu di negara-negara tropikal.

Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Kebiasaannya pesakit yang disyaki denggi akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan meminum air dengan lebih kerap. Pesakit akan dimasukkan ke wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah dan semasa menjalani sesi rawatan pesakit akan di beri rawatan utama iaitu terapi sokongan. Pesakit digalakkan untuk mengekalkan cecair badan mengambil air dengan banyak. Sekiranya pesakit tidak mahu atau mampu minum, air akan ditambahan melalui cecair intravena akan diberikan untuk menghalang kekeringan air dalam badan dan hemoconcentration teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya kuantiti platlet darah turun dengan mendadak.

Simptom-simptom demam denggi ialah:
- demam kuat secara mengejut.
- demam berterusan
- sakit teruk pada tulang-tulang, otot, sendi, mata
- ruam atau bintik merah di kulit
- pendarahan di bawah kulit, hidung serta gusi
- pesakit juga akan mengalami sakit kepala
- hilang selera makan
- muntah-muntah dan sakit perut.

Ia kemudian diikuti dengan denyutan nadi yang lemah, tekanan darah rendah (hipotensi), kulit menjadi dingin serta lembap dan terasa tidak selesa. Pesakit yang mengalami renjatan adalah dalam keadaan bahaya dan boleh mengancam nyawa jika rawatan bersesuaian tidak diberikan. Dalam sesetengan keadaan tertentu, jika rawatan tidak diberikan dengan segera pesakit mungkin akan meninggal dunia dalam tempoh 12 – 24 jam.

Amalan Pencegahan.

Amalan pencegahan boleh dilakukan dengan menjaga kebersihan sekeliling rumah sama ada di dalam dan di luar rumah bagi menghindarkan pembiakan nyamuk. Pekara ini perlu kerana tanpa kita sedar kawasan rumah dalah kawasan yang amat sesuai sebagai habitat pembiakan nyamuk Aedes. Cara yang paling praktikal dalam usaha mengelakkan dijangkiti demam denggi dan menghalang pembiakan nyamuk antaranya ialah menggunakan penyembur racun serangga, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas simpanan air, menutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur, sentiasa menukar air di dalam bekas simpanan air, jambangan bunga dan kolah mandi setiap minggu. Orang ramai perlu memberi kerjasama dan membenarkan petugas menyembur kabus (fogging) di dalam rumah. Aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran sangat digalakkan untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Justeru itu, demam denggi merupakan penyakit yang sangat berbahaya dan mengancam kesejahteraan hidup dan masyarakat setempat. Walaupun kita kerap didedahkan dengan berita tentang kematian akibat deman denggi ini, masyarakat masih lagi mengabaikan tahap kebersihan rumah dan kawasan persekiran. Masyarakat dan pihak penguatkuasaan perlu lebih melipatgandakan usaha untuk mencegah penyakit demam denggi. Pihak berkuasa perlu melaksanakan penguatkuasan berterusan yang lebih berkesan agar dapat menghapuskan kawasan pembiakkan nyamuk. Sekiranya pekara ini dilaksanakan dengan lebih berkesan sudah pasti masalah denggi dalam kalangan masyarakat kita dapat dikawal dan dikurangkan. Ingatlah “Denggi Membunuh”.

03 April 2010

Segitiga Bermuda & Misterinya!


Segitiga bermuda yang juga biasa disebut segitiga setan terletak di wilayah lautan samudera atlantik seluas 1,5 juta mil2 atau 4juta km2 yang membentuk garis segita antara wilayah2 teritorial britania raya sbg titik di sebelah utara, puerto rico teritorial amerika serikat titik di sebelah selatan dan miami negara bahagian florida amerika serikat sbg titik disebelah barat.

Pasti pernah dgr kan peristiwa2 aneh di sana yang sering terjadi kapal2 hilang baik laut maupun udara secara misterius.Ada yang bilang segitiga bermuda itu adalah tempat mangkalnya alien dan ufo.Ada yg bilang itu adalah pusat magnet terbesar didunia.Ada juga yang bilang itu pusat bumi dan terdapat black hole yang mampu menyedot apapun yg melintas.Lalu apa pendapat islam tentang segita bermuda?


Ada hadis yg diriwayatkan Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW telah bersabda “Apabila salah seorang berada ditempat yg terbuka atau ditengah matahari sedang bersinar, lalu bayangan yg meneduhinya bergerau sehingga sebagian dari dirinya terletak ditempat panas dan sebagibn lagi di tempat sejuk, maka hendaklah dia berdiri atau meninggalkan tempat itu” dikatakan larangan ini karena tempat seperti itu adalah tempat yang paling digemari oleh Syaitan.Jadi apa kaitannya dengan bermuda???

Alasannya karena bermuda terletak di perairan atlantik di pertengahan antara benua Amerika bagian utara dan Afrika.Secara mudah lokasi ini adalah kawasan pertembungan dua arus panas dari afrika dan sejuk dari Amerika Utara. Dengan hadist ini maka terjawablah misteri segitiga bermuda.Perkara2 aneh yg terjadi itu tentu antara lain disebabkan pertembungan antara panas dan sejuk dan istana Syaitan yang mungkin tersembunyi disitu.

Ada sebuah buku yang berjudul “Dajjal akan muncul dari kerajaan jin di segitiga bermuda” Karya Sheikh Muhammad Isa Dawuud dari Mesir,bahwa kawasan bermuda adalah kawasan Jin dimana dari situlah akan muncul Dajjal. Jika benar dakwaan buku itu, tidak aneh lagi apa yang di Sabdakan Oleh Nabi SAW itu nyata adanya dan bahkan mendahului zaman sekaligus Nabi SAW membuktikan bahwa islam memiliki semua jawaban untuk semua pertanyaan.

Menurut Syaikh Imam M. Ma’rifatullah Al-arsy, segitiga bermuda merupan tempat titik terujung di dunia ini. Ditengah kawasan itu terdapat sebuah telaga yang airnya dapat membuat siapa saja yg meminumnya menjadi panjang umur, ditempat itu pula Nabiyullah Khidzir A.S bertahta sebagai penjaga sumber air kehidupan tersebut.Syaitkh imam M. M berkata kalau penyelamat akhir Zaman Imam Mahdi akan keluar dari Ghaibnya melalui tempat tersebut dengan menggukan jubah suci berwarna kebiruan.

Lalu apa penyebab hilangnya berbagai macam kapal ditempat itu??? Menurut Syaikh Imam M lagi, para iblis dan Syaitan tersebut yang tak bisa mendekati pusat kawasan agung itu,maka mereka pun berjaga disekelilingnya dan bertujuan untuk menghalangi setiap manusia yang mencoba untuk memasuki kawasan agung itu(segitiga bermuda).Karena sesungguhnya barang siapa yg bisa sampai ketempat titik tengah kawasan segitiga bermuda, maka dia akan mengetahui kebenaran alam yg sesungguhnya.

Banyak orang2 zaman dahulu yang telah mencuba kepusat Segitiga bermuda dan kebanyakan dari mereka enggan untuk kembali pulang kedunianya. Menurut sebuah artikel kuno, Raja Iskandar Agung pernah mencoba masuk ke kawasan agung itu.Dan sekembalinya mereka mengatakan bahwa tempat itu berpasirkan permata dan berbatukan berlian.Tempat yang dipenuhi dengan kabut putih tebal itu sangat indah untuk dipandang tapi sangat berbahaya untuk di datangi.


Gangguan Was-Was!


Disiarkan pada Apr 03, 2010 dalam kategori Fatwa |

Soalan: Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing. Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya. Apakah penyelesaiannya.
Faisal, Klang.

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian:

1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

2. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

3. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

4. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

5. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”. Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

6. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari). Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

7. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

8. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah. Firman Allah: (maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan.” (Surah Taha: 120-121)

Dr. MAZA

02 April 2010

Talasemia : Penyakit Genetik Yang Membawa Maut.


Talasemia merupakan penyakit genetik sel darah merah. Pesakit Talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini kerana gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.

Bagaimana Talasemia merebak? Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan di mana anak mendapat gen Talasemia daripada ibu bapa. Ianya bukan penyakit berjangkit iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara, air atau pun sentuhan fizikal. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini. Satu daripada 20 penduduk Malaysia adalah pembawa gen Talasemia.

Terdapat 2 jenis Talasemia yang utama iaitu Talasemia minor (pembawa gen Talasemia) dan Talasemia Major (Pesakit Talasemia). Pembawa gen Talasemia tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan tetapi seorang pembawa gen Talasemia boleh menurunkan gen Talasemia kepada anak-anaknnya. Manakala pesakit Talasemia major akan menunjukkan tanda-tanda sejak dari umur 3-18 bulan. Antara gejala tersebut adalah seperti badan sentiasa lemah dan resah, kesukaran bernafas, perut buncit disebabkan pembengkakan hati dan limpa, tumbesaran terbantut dan terdapat perubahan pembentukan pada muka apabila anak semakin membesar.

Rawatan bagi pesakit Talasemia ini dikenali sebagai rawatan transfusi darah sebanyak 1 hingga 2 kali sebulan dalam seumur hidup pesakit Talasemia. Rawatan ini akan mengambalikan paras hemoglobin ke tahap yang lebih baik dan tisu-tisu di dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Namun, proses rawatan transfusi darah yang berpanjangan ini akan menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan di dalam organ-organ penting didalam badan seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin yang akan terjejas fungsinya. Justeru itu, rawatan penyingkiran zat besi amat penting bagi pesakit Talasemia major. Ia boleh diberikan secara suntikan. Pilihan lain adalah pembedahan membuang limpa bergantung kepada situasi tertentu.

Walaubagaimanapun, terdapat langkah pencegahan untuk mengelakkan Talasemia dan perlu dilakukan oleh pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga sebagai langkah keselamatan. Langkah yang pertama adalah menjalani penyaringan darah bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap Talasemia. Langkah kedua, sekiranya anda mempunyai ciri Talasemia dan ingin berkahwin, anda perlu bersikap terbuka dan berbincang mengenainya dengan pasangan anda. Bakal pasangan anda perlu menjalani ujian darah untuk mengetahui sama ada dia juga mempunyai ciri Talasemia atau tidak. Langkah ketiga, jika kedua-dua pasangan membawa ciri Talasemia, mereka perlu mendapatkan nasihat dan keterangan lanjut mengenai nya dengan penghadiri kaunseling genetik . Ini perlu kerana sekiranya kedua-dua pembawa gen Talasemia berkahwin, kemungkinan besar anak yang dilahirkan merupakan pesakit Talasemia major yang boleh membawa maut. Sekiranya kedua-dua ibu dan bapa adalah pembawa gen Talasemia, 25% kemungkinan anak mereka adalah pembawa Talasemia, 50% kemungkinan anak mereka adalah pembawa dan 50% kemungkinan anak mereka normal.

Kesedaran orang ramai tentang Talasemia? Terdapat pelbagai kempen yang dijalankan untuk memberikan informasi mengenai Talasemia kepada orang ramai. Namun, masih terdapat ramai lagi termasuklah pelajar institusi pengajian tinggi yang kurang pengetahuan tentang Talasemia. Dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai Talasemia ini, corak penyampaiannya perlulah lebih kreatif dalam memberi informasi tentang Talasemia dan sekaligus menerangkan tentang langhkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya serta seterusnya dapat mencapai matlamat kempen. Dalam konteks ini, media elektronik seperti televisyen dan radio dilihat lebih sesuai sebagai medium penyampaian kerana lebih dekat dengan masyarakat. Selain itu, kempen-kempen mengenai Talasemia ini juga perlu diadakan dengan kerap di sekolah-sekolah serta IPT seluruh Malaysia kerana rata-ratanya merupakan pelajar yang belum lagi menginjak ke isntitusi perkahwinan dan masih sempat untuk mengelakkan lahirnya anak yang menghidap Talasemia major. Untuk menjayakan kempen ini, pelbagai pihak termasuklah badan kerajaan atau pun NGO perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen.

Di samping kempen-kempen untuk mencegah Talasemia, bantuan kepada pesakit Talasemia juga perlu dihulurkan. Pesakit Talasemia memerlukan rawatan transfusi darah selama 1 hingga 2 bulan seumur hidup dan rawatan ini memerlukan kos yang tinggi. Satu daripada 20 rakyat negara ini merupakan pembawa Talasemia dan daftar Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 4,385 pesakit Talasemia sedang menjalani rawatan bulanan. Daripada angka ini, untuk mengharapkan Persatuan Talasemia yang dinaungi oleh Datin Seri Rosmah Mansor sahaja untuk menghulurkan bantuan kewangan, agak sukar kerana sumber dana adalah terhad. Sehubungan dengan itu, bantuan kewangan daripada pelbagai pihak samada NGO, badan kerajaan atau pun persendirian sangat digalakkan. Di samping bantuan kewangan, sokongan moral adalah yang paling diperlukan oleh pesakit Talasemia. Setiap manusia mempunyai talian persaudaraan sesama kita dan dengan sokongan moral yang diberikan, mereka akan berasa lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Berdasarkan penerangan-penerangan di atas, semua pihak perlu prihatin dalam mencegah Talasemia ini. Talasemia major merupakan penyakit yang serius dan jika tidak dirawat, boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak yang berumur antara satu hingga lapan tahun. Sanggupkah kita melihat generasi yang bakal menerajui negara ini semakin berkurangan disebabkan oleh kelalaian kita sendiri yang mangambil mudah dalam ujian penyaringan darah? Oleh yang demikian, diharapkan kempen-kempen yang dijalankan dapat menyedarkan mesyarakat tentang risiko Talasemia dan pesakit-pesakit yang menghidap Talasemia dapat dibantu dengan sewajarnya agar dapat meneruskan kehidupan .

Cegah sebelum parah.

Oleh : Aina Suraya Selamat, UKM Bangi.

Related Posts with Thumbnails