26 June 2010

Kecundang atas ranjang!


PENGALAMAN seks yang memuaskan adalah penting untuk menjalin hubungan yang erat dan intim antara suami isteri. Namun begitu, ramai di antara kita yang merasa was-was atau tidak selesa untuk membincangkan masalah seks dengan pasangan atau doktor, mungkin kerana kita rasa malu.

Masalah ini tidak akan lenyap begitu saja dan lebih lama anda menunggu untuk mendapatkan nasihat profesional, semakin tergugat hubungan intim antara anda dan isteri. Sebenarnya anda tidak harus khuatir kerana kebanyakan masalah seks boleh dirawat.

Menurut pakar sosiologi University of Chicago, Edward Laumann, penyelidik utama dalam kajian seks menyeluruh di Amerika Syarikat (AS), seramai 31 peratus lelaki dan 43 peratus wanita mengalami suatu bentuk disfungsi seks.

Satu masalah khusus yang dialami sehingga 20 peratus hingga 30 peratus lelaki Asia pada suatu peringkat kehidupan mereka ialah ejakulasi pramatang (PE). Ia ditakrifkan oleh beberapa pertubuhan antarabangsa utamai sebagai:

• Ejakulasi berulang atau berterusan yang berlaku dengan sedikit rangsangan sama ada sebelum, semasa atau sejurus selepas memasukkan zakar ke dalam vagina.

• Kegagalan mengawal atau melengahkan ejakulasi

• Menimbulkan kesan negatif terhadap lelaki seperti rasa resah atau terganggu

Ejakulasi pramatang ialah masalah perubatan umum yang dialami oleh semua lelaki di suatu peringkat dalam hidup mereka. Malah, disfungsi seks ini kurang dilaporkan, kerana lebih banyak perhatian diberikan kepada mati pucuk (ED). Justeru tidak hairanlah jika kaum lelaki keliru dengan kedua-duanya.

Ejakulasi Pramatang tidak sama sekali seperti mati pucuk (ED)

Menurut kajian yang dikendalikan baru-baru ini, iaitu Tinjauan Penularan dan Sikap Terhadap Ejakulasi Pramatang di Asia Pasifik (AP PEPA) membabitkan lebih 5,000 lelaki heteroseksual, sehingga 35 peratus daripada responden mempunyai tanggapan salah bahawa PE dan ED adalah sama.

Sebahagian besar responden Malaysia percaya kedua-dua masalah boleh dirawat dengan ubat yang sama. Hakikatnya kedua-duanya tidak sama dan perlu dirawat dengan ubat yang berbeza!

Di Malaysia saja, 29 peratus daripada lelaki mungkin menghidap PE. Sebenarnya PE merujuk kepada ejakulasi terlalu cepat sedangkan ED merujuk kepada masalah tidak dapat mengekalkan ketegangan zakar. Kedua-duanya adalah keadaan berbeza dan kita tidak harus keliru dengannya!

PE sebenarnya masalah umum yang dialami oleh kebanyakan lelaki di suatu peringkat dalam kehidupan mereka. Ini berbeza dengan ED yang biasanya dialami oleh lelaki yang lebih tua. Sesetengah lelaki tidak sedar bahawa kehilangan ereksi atau ketegangan selepas ejakulasi adalah perkara biasa dan mungkin mengadu mengalami ED sedangkan masalah sebenar ialah PE.

Walaupun semua orang tahu cara untuk merawat ED ialah dengan mengambil pil biru, anda memang tidak boleh merawat PE dengan mengambil pil untuk rawatan ED dan mengharapkan keberkesanannya. Anda juga tersilap jika anda fikir PE akan hilang seiring dengan usia. Ini kerana ia mungkin kekal sepanjang hayat!

Sementara itu, PE, walaupun boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti masalah kelenjar tyroid atau prostatic inflamasi pada prostat dan urethra, juga disebabkan oleh faktor mental dan fizikal. Ini termasuk keabnormalan paras neurotransmitter dalam otak, keresahan atau kemurungan.

Selain itu, lelaki yang menghidap PE kemungkinan lebih besar melaporkan disfungsi lain seperti ED, kegagalan mencapai orgasma (kemuncak syahwat) dan nafsu seks yang rendah.

Berikut adalah jadual ringkas yang menyenaraikan perbezaan utama antara kedua-duanya:

Ejakulasi Pramatang

Disfungsi Erektil
• Hubungan seks berakhir dengan pantas
• Masalah umum dan dialami lelaki di satu peringkat dalam kehidupan – tidak bergantung pada usia
• Kurang didiagnos, kurang dilaporkan
• Boleh dirawat dengan ubat PE, psikotherapi , kaunseling dan amalan tingkah laku.

Disfungsi Erektil
• Tidak mampu mengekalkan ketegangan zakar
• Dialami kebanyakan lelaki lebih lanjut usia yang berumur lebih 45 tahun
• Profil tinggi, mendapat liputan lebih luas
• Banyak terapi yang sudah mantap, cth implan, supositori, ubat oral dan terapi suntikan.

tanyadrxy@bharian.com.my
2010/06/19.

21 June 2010

Mahu Elak Bayi Tidak Normal.


KESUBURAN wanita bermula daripada usia baligh dan tamat apabila mencapai menopaus. Usia lazim kebanyakan wanita mencapai menopaus adalah di antara 50 hingga 51 tahun, namun ada yang masih didatangi haid walaupun sudah mencapai usia 55 tahun.

Pada usia anda, tahap kesuburan semakin berkurangan. Kemungkinan anda hamil masih ada namun kebarangkaliannya kecil berbanding usia anda 10 tahun lalu. Seseorang yang masih didatangi haid tidak semestinya subur pada setiap bulan kitarannya.

Anda dan wanita lain hanya menghasilkan telur sewaktu peringkat janin dalam kandungan ibu saja. Setelah lahir ke dunia, tiada lagi telur baru dihasilkan. Kumpulan telur dari peringkat janin ini yang menjadi bekalan anda sepanjang hayat.

Ia menjadi semakin berkurangan walaupun sebelum kanak-kanak itu baligh. Kemudian, ia akan terus berkurangan kerana pada setiap bulan berikutnya, sekumpulan kecil telur ini akan digunakan untuk melalui proses pembesaran seterusnya walaupun akhirnya hanya satu saja telur (ovum) yang berjaya dikeluarkan manakala selebihnya dibazir begitu saja.

Pada usia anda, baki telur yang ada semakin sedikit sehingga ia habis digunakan, malah tidak semestinya telur berjaya keluar pada setiap bulan.

Isu bayi tidak normal memang menjadi topik utama apabila membincangkan kehamilan pada usia lewat. Secara logiknya, semakin lama tempoh sesuatu itu terdedah kepada suatu keadaan atau persekitaran, ia semakin berisiko untuk mendapat kesan daripadanya.

Memandangkan telur wanita adalah seusia hayatnya, maka pada usia 48 tahun, ini bermakna telur anda sudah terdedah kepada persekitaran dunia selama itu. Ini meningkatkan risiko ia mengalami renjatan atau mutasi genetik pada bahan kromosomnya sehingga memberi kesan terhadap pembentukan sifat janin sama ada secara sifat fizikal atau fungsi.
Sebilangan kecacatan kromosom tidak mampu bertahan sehingga menyebabkan keguguran atau kematian dalam kandungan, sebilangan lain pula selamat dilahirkan, tetapi mengalami gangguan pembentukan organ, pembesaran serta fungsinya kelak.

Contoh sindrom yang sering dikaitkan dengan usia adalah sindrom Down (Trisomi 21). Pada usia anda, risikonya seorang dalam 14 orang berbanding wanita berusia 40 tahun (seorang dalam 106 orang) dan wanita berusia 34 tahun (seorang dalam 500 orang) serta wanita berusia 29 tahun (seorang dalam 1,000 orang).

Selain sindrom Down, terdapat juga sindrom lain yang turut meningkat risikonya dengan peningkatan usia wanita seperti Trisomi 13 dan Trisomi 18.

Anda dan suami perlu memikirkan kesannya serta persiapan atau kesediaan menghadapinya sekiranya ia berlaku, dari saat ia dikesan dalam kandungan sehingga selepas dilahirkan serta apabila bayi ini meningkat usia dewasa kelak.

Tiada cara untuk mengelak kehamilan kerana tiada cara untuk mengelak usia kita daripada menjadi semakin meningkat tua. Begitu juga, asid folik bukanlah ubat kesuburan, tetapi sejenis vitamin B yang didapati menurunkan risiko kecacatan otak dan saraf tunjang pada bayi seperti spina bifida. Ini tiada kaitan dengan usia.

Pil Clomid dan pil lain yang mengandungi bahan Clomiphene citrate hanya dinamakan ubat kesuburan kerana ia berpotensi meningkatkan bilangan telur yang berjaya membesar dalam sesuatu kitaran haid wanita.

Tanpa menerusi ubat ini, wanita lazimnya hanya mengeluarkan satu saja ovum pada setiap bulan kitarannya kerana telur lain “mengalah”, ini adalah normal.

Kadangkala, tiada langsung ovum yang dikeluarkan, walaupun dengan pengambilan pil terbabit kerana ia tidak semestinya berkesan untuk semua wanita. Pil ini juga tidak dapat mengelakkan mutasi jika berlaku pada telur.

Sukar untuk menjalankan ujian pengesahan kecacatan sebelum kehamilan kerana ia memerlukan teknologi tinggi dinamakan pre-implantation genetic diagnosis (PGD) atau pre-implantation genetic screening (PGS) yang hanya dapat dilakukan sekiranya anda menjalani persenyawaan tabung uji (IVF).

Pada masa sama, terdapat had PGD atau PGS boleh dilakukan seperti di kebanyakan negara lain bagi mengelakkan tujuan salah guna. Ujian lain seperti ujian darah anda serta ujian ke atas sampel darah janin atau air ketuban hanya dapat dilakukan setelah terjadinya kandungan.

Anda juga perlu membincangkan perkara lain yang berkaitan dengan kehamilan pada usia ini seperti kesannya terhadap anda dan proses kehamilan itu sendiri misalnya penyakit darah tinggi, uri bawah dan risiko lain.

Sumber...
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahuelakbayitaknormal/Article/indexp_html.

04 June 2010

Penyakit Chikungunya!

Justify Full
Apa itu chikungunya?
- sumber : utusan online

Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan kerap di sesuatu kawasan atau populasi, sentiasa ada) berpunca daripada virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alphavirus).

Kes pertama chikungunya direkodkan pada tahun 1952 di Tanzania, Afrika. Mendapat namanya dari bahasa Swahili, chikungunya bererti ‘melengkung ke atas’, merujuk kepada bentuk badan pesakit yang berubah seperti membongkok disebabkan menanggung kesakitan yang teramat.


Sejauh manakah kekerapannya berlaku?

Wabak chikungunya pertama kali dikesan di Afrika Timur, yang berlaku pada tahun 1952 hingga 1953. Sejurus kemudian, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.
Sejak tahun 2003, terdapat beberapa wabak berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.
Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus itu.
Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi wabak ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing).
Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.


Adakah ini bermakna, individu tertentu lebih rentan terhadap penyakit ini berbanding orang lain?

Sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.


Cara penularannya

Chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana ditularkan oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypty mahupun albopictus.

Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.


Adakah seseorang itu boleh dijangkiti oleh virus chikungunya beberapa kali seumur hidupnya?

Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.
Diagnos

Chikungunya dikesan melalui ujian darah. Memandangkan kemunculan klinikal bagi chikungunya dan denggi berdarah mirip di antara kedua-duanya, pengesahan makmal adalah penting, apatah lagi di kawasan-kawasan berlakunya kes-kes demam denggi.


Adakah ia boleh dirawat?

Seperti halnya demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi melegakannya).

Misalnya, pesakit diberikan ubat penurun panas atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirahat yang cukup.

Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.


Langkah-langkah pencegahan?

Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan chikungunya, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum.

Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:
* Tidur menggunakan kelambu
* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan nyamuk aedes
* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.


Tidakkah nyamuk yang membawa virus chikungunya ini turut dijangkiti oleh penyakit tersebut?

Tidak. Bagaimanapun, nyamuk yang membawa darah bervirus di dalam tubuhnya akan kekal terjangkit sepanjang hayatnya. Tiada bukti menunjukkan virus chikungunya dipindahkan oleh nyamuk betina kepada telurnya sebagaimana virus demam denggi.


Adakah seseorang yang telah dijangkiti boleh menularkan penyakit chikungunya kepada orang lain pula?

Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.
Tempoh pengeraman

Masa di antara gigitan nyamuk pembawa virus chikungunya dengan terjadinya tanda-tanda penyakit chikungunya berlaku di antara satu hingga tujuh hari (paling biasa berlaku dalam tempoh dua hingga empat hari).


Gejala

Simptom-simptom chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 390 celsius.
Lain-lain gejala termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.
Seperti penyakit-penyakit arbovirus lain, jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Mujurlah, chikungunya tidak mematikan seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.

Jadi, kenapa perlu bimbang?

Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.

Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali.

Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain.


Related Posts with Thumbnails