11 August 2010

Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak

Pengharaman Blackberry Merugikan Kita!


KETIKA isu penggunaan telefon pintar BlackBerry® Smartphone bakal dilarang di negara-negara seperti Arab Saudi (Arab Saudi sudah mengharamkan penggunaan BlackBerry® Smartphone sejak Jumaat, BlackBerry® Smartphone6 Julai, 2010) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (UAE sedang mempertimbangkan semula larangan itu), kami di BlackBerry User Group Malaysia (BBUGMy) berpendapat ada maklumat tertentu yang perlu diperjelaskan.
Masalah keselamatan dijadikan sebagai alasan mengapa negara-negara berkenaan melarang penggunaan peranti ini.

Pada awal pengenalan BlackBerry® Smartphone adalah peranti komunikasi, direka untuk melindungi data pengguna atau privasi pengguna.

Ketika ia diperkenalkan kepada pengguna peranti komunikasi pada tahun 2000, ia menumpukan kepada komuniti perniagaan yang memerlukan peranti komunikasi untuk menyimpan butiran penting dan maklumat serta menggunakannya di mana-mana mereka berada, tanpa perlu membawa talian telefon, modem dan terminal komputer.
Lapan tahun kemudian, Research In Motion (RIM), pengeluar peranti berkenaan, memperkenalkan BlackBerry® Smartphone untuk pengguna biasa sekaligus mencipta sebuah fenomena baru dalam komunikasi, kerana BlackBerry® Smartphone bukan sekadar telefon bimbit, ia adalah peranti rangkaian sosial, telefon pintar, dengan fungsi serupa dengan komputer biasa.

Banyak pengguna BlackBerry® Smartphone menggunakannya untuk akses yang mudah alih ke email, aplikasi, media dan Internet. Sebagai komuniti yang mempromosi dan mendidik pengguna, pengguna BlackBerry® Smartphone atau sebaliknya, kami merasakan bahawa beberapa andaian mengenai peranti komunikasi ini adalah mengelirukan.

Andaian bahawa semua data pengguna BlackBerry® Smartphone disimpan di beberapa pelayan (server) di Kanada, adalah tidak benar kerana semua data bergerak antara peranti BlackBerry® Smartphone melalui pelayan rangkaian operasi di Kanada, dan tidak disimpan di mana-mana pelayan. Berdasarkan kepada satu maklumat dalaman daripada RIM kepada pelanggannya, ada beberapa fakta membabitkan struktur pelayan yang digunakan.

Pengekodan data yang kukuh adalah satu keperluan yang perlu dipatuhi oleh semua perkhidmatan emel tanpa wayar, dan ia tidaklah sesuatu yang hanya digunakan pada pelantar yang digunakan BlackBerry® Smartphone. Menurut RIM lagi, pengekodan yang kukuh itu adalah satu keperluan asas untuk pelbagai produk teknologi yang membolehkan entiti perniagaan beroperasi dan bersaing sama ada dalam dan luar negara.

Struktur keselamatan BlackBerry® Smartphone direka cipta khusus untuk membolehkan pelanggan korporat dengan kebolehan memindahkan maklumat secara tanpa wayar dan pada masa sama meyakinkan mereka bahawa tiada sesiapa, termasuk RIM yang boleh melihat data itu. Struktur keselamatan untuk pelanggan BES adalah berdasarkan kepada sistem kekunci bersimetri (symmetric key system) yang membolehkan pelanggan mencipta sendiri kekunci dan hanya pelanggan yang menyimpan salinan kod kekunci itu.

Semua data dikodkan menggunakan kekunci pelanggan sendiri dan disimpan hanya di pelayan BES dan pada peranti BlackBerry® Smartphone. Malah opetrator Infrastruktur BlackBerry (BIS) tidak mempunyai laluan kepada kekunci pelanggannya, sekaligus tidak dapat melihat isi kandungan setiap mesej.

RIM tidak mempunyai kekunci utama atau ada cara lain dalam sistem itu yang membolehkan RIM atau pihak lain, secara haram, memperoleh kekunci atau data korporat atau maklumat lain.
Ia sengaja direkacipta sedemikian bagi menghalang RIM atau mana-mana pihak ketiga membaca maklumat yang dikodkan dalam sebarang keadaan dan pada masa sama, RIM juga tidak boleh melayan sebarang permohonan untuk memperoleh sesalinan kekunci kod milik pelanggan kerana bukan saja RIM, malah syarikat telekomunikasi juga tidak mempunyai salinan berkenaan.

Pada masa sama, struktur keselamatan BlackBerry® Smartphone juga direkacipta untuk berfungsi sebagai sistem global yang bebas dari segi geografi, iaitu lokasi pangkalan data dan pilihan syarikat telekomunikasi adalah faktor yang tidak ada kena mengena, dari segi keselamatan, memandangkan pengekodan punca ke punca (end-to-end) digunakan.
Semua data akan dikod sebaik seseorang menghantarnya, sehingga ia diterima peranti penerima dan akan ditafsirkan semula oleh peranti penerima, dengan tidak ada kemungkinan bagi sesiapa pun menterjemahkan data berkenaan, ketika data itu sedang dihantar.

BlackBerry® Smartphone adalah untuk menggalakkan hubungan yang lebih baik antara manusia, memendekkan masa untuk menyelesaikan tugasan, selain dalam keadaan tertentu, boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa. Sebagai contoh, ketika kejadian 9/11, ada seorang pengguna BlackBerry® Smartphone, Craig Johnston, yang ketika itu menggunakan BB jenis RIM 857, yang beroperasi sepenuhnya pada rangkaian terpencil, boleh menghantar dan menerima mesej ketika semua rangkaian komunikasi terputus dan tidak boleh digunakan.

Malah, ketika gempa bumi melanda Haiti, sistem pesanan BlackBerry® Smartphone (BBM) menjadi talian hayat kepada pengguna peranti ini, apabila talian telekomunikasi terjejas teruk.
Baru-baru ini, di negara kita, BlackBerry® Smartphone digunakan sebagai alat untuk menyebarkan rayuan oleh seorang bapa, ketika dua anaknya perempuan dilarikan ketika kereta yang mereka naiki dicuri. Rayuan bapa berkenaan disebarkan oleh mereka yang menggunakan BlackBerry® Smartphone dengan menggunakan BlackBerry Massenger (BBM) yang percuma, tidak seperti SMS biasa.

Kami tidak bermaksud untuk mengatakan BlackBerry® Smartphone yang membawa kepada penemuan kedua-dua gadis berkenaan, sebaliknya kami berpendirian, sebagai alat komunikasi, BlackBerry® Smartphone menawarkan pelbagai fungsi apabila digunakan untuk kebaikan.
Seperti alat komunikasi lain, kita juga tidak menafikan bahawa BlackBerry® Smartphone pernah digunakan untuk menyebar idea buruk dan perancangan mereka yang berniat jahat untuk mencapai agenda tersembunyi yang berbahaya.

Namun, adalah salah untuk hanya menyalahkan kepada peralatan, kerana ia hanya bertujuan untuk membuat hidup kita lebih mudah dan komunikasi yang lebih baik. Lagi pun, bukankah kita sedang menuju kepada kehidupan dunia tanpa sempadan.

BBUGMy, yang mewakili lebih 1,000 pengguna BlackBerry® Smartphone, merasakan kerajaan perlu menimbangkan sebarang cadangan untuk mengharamkan penggunaan peranti ini berikutan ia digunakan dengan sangat meluas, melangkaui batasan dan had usia, latar belakang pendidikan serta lapisan masyarakat.

BlackBerry® Smartphone bukan saja digunakan oleh golongan korporat dan profesional, ia kini turut digunakan oleh pelajar dan sesiapa saja yang merasakan penggunaan telefon pintar seperti BlackBerry® Smartphone memudahkan dan membantu mereka dalam melaksanakan tugas harian.

Pengharaman penggunaan BlackBerry® Smartphone hanya akan merugikan ramai pihak, terutama mereka yang menggunakan peranti ini sepenuh masa, membabitkan urusan perniagaan ataupun segala urusan yang perlu ditangani dengan segera.

Salam Hormat,
NELSON RIZAL RADZMI
Presiden, Blackberry User Group Malaysia (BBUGMy)

Related Posts with Thumbnails