06 September 2011

Nostalgia Adilfitri Tahun 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Rasanya cukup lama saya tidak update blog ini. Banyak perkara dan peristiwa yang boleh dikongsi bersama jika saya rajin menzahirkannya melalui tulisan. Akhirnya perkara dan peristiwa tersebut berlalu dengan begitu sahaja. Syukur jika saya mampu mengingatinya hingga akhir hayat.

Tidak ketinggalan saya masih sempat mengucapkan salam Aidilfitri kepada rakan-rakan sekalian, yang jauh dan dekat di mata. Syawal yang kita sambut selama sebulan mampu mengeratkan semula hubungan kekeluargaan yang sememangnya tersimpul rapi. Bagi mereka yang sempat menziarahi sanak saudara, sahabat handai yang jauh dan dekat saya ucapkan tahniah kerana diberi kekuatan oleh Allah. Saya dan keluarga pula hanya sempat berkunjung ke rumah saudara mara terdekat sahaja.

Tahun 2011, saya dan keluarga beraya di rumah mentua di Kampung Binsuluk Membakut (Kuala Lama). Alhamdulillah, saya sempat berpuasa, bersungkai dan bersahur bersama keluarga sebelah isteri saya. Sempat juga berterawih di masjid Kg. Binsuluk bersama penduduk kampung. Seperti di Masjid al-Taqwa Keningau, bilangan rakaat terawihnya ialah 20. Namun demikian, masa yang diambil untuk menyelesaikan solat sunat tesebut adalah singkat kerana surah yang dibaca adalah ayat-ayat lazim (pendek).

Perkara yang memeriahkan sambutan Aidilfitri di kampung ini ialah, letupan mercun dan bunga api sepanjang akhir Ramadhan dan malam raya persis sambutan tahun baru. Saya kagum dengan pembakar mercun tersebut kerana berjaya membelinya tanpa diketahui oleh pihak berkuasa. Menurut sumber yang belum dipastikan kebenarannya, terdapat anggota berkuasa yang menjual pelbagai jenis mercun kepada penduduk kampung. Tidak diketahui di mana anggota tersebut mendapatkan bekalan mercun itu. Justeru penduduk kampung seawal usia 5 tahun pun boleh mendapatkannya di pasaran. Walau bagaimanapun, saya tidak mendengar akan kecederaan yang diakibatkan oleh letupan mercun tersebut.

Seawal jam 8 pagi, saya dan anak lelaki dengan berpakaian baju Melayu berwarna biru berjalan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Keadaan bersesak-sesak di dalam masjid tidak menghalang saya melaksanakan solat sunat tersebut. Hati sayu dan sebak apabila berdiri menyembah Allah mengenangkan akan betapa kecil dan lemahnya saya di depan Allah SWT. Rasa keinsafan akan kebesaranNya mengatasi segala makhluk di dunia ini. Puasa selama sebulan akhirnya berjaya disudahi dengan keikhlasan. Saya berdoa semoga akan bertemu semula Ramadhan akan datang seterusnya dapat lipatgandakan amalan. Khutbah raya yang disampaikan pula lebih menyentuh kepada semangat perpaduan sesama Islam. Perpaduan yang kukuh mengakibatkan umat Islam kuat dan dapat mengembangkan syiar Islam kepada masyarakat.

Selesai tunaikan solat sunat Aidilfitri, saya dan rombongan keluarga menziarahi saudara mara mengucapkan salam Aidilfitri. Hari raya kedua, saya hanya duduk diam sahaja di rumah menantikan kedatangan penduduk kampung ke rumah. Kebetulan hari ini ialah hari rumah terbuka. Makanan istimewa yang dihidangkan ialah, nasi ayam. Ramai juga penduduk kampung yang berkunjung ke rumah untuk makan nasi ayam tersebut. Sempat juga saya abadikan peristiwa tersebut dengan rakaman foto.

Akhirnya, saya dan keluarga pulang semula ke daerah Keningau untuk sambutan Aidilfitri pada raya ke-3. Sempat juga menonton wayang gambar The Smurfs 3D bersama anak-anak sebelum pulang ke Keningau.




Related Posts with Thumbnails