01 December 2009

Aidiladha 2009


Tarikh 27 November 2009 bersamaan dengan hari Jumaat adalah sambutan perayaan Hari Raya Aidiladha di Malaysia. Saya dan keluarga menyambut perayaan ke-2 umat Islam ini di Kg. Baginda Keningau. Semua ahli keluarga pulang bercuti dan berkumpul di rumah bapa pada hari ini.

Seawal jam 7.30 am, saya dan anak sulung ke Masjid Al-Malik untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Intipati khutbah yang dibacakan oleh ustaz Satimen Panir selain daripada beriman kepada Allah swt ialah menyeru agar umat Islam bersatu-padu seperti yang ditunjukkan ketika menunaikan Rukun Islam ke-5 di Baitullah Mekah. Perpaduan umat Islam bukan sahaja dapat menguatkan ummah malah membolehkan umat Islam mengamalkan ajaran Islam tanpa sekatan.

Dua ekor lembu dikorbankan pada hari raya ini. Lembu itu adalah milik sepenuhnya beberapa penduduk kampung. Alhamdulillah, dapat juga bahagian daging korban walaupun kandungannya tidak seberapa.

Hari ini solat fardhu Jumaat ditiadakan. Sebenarnya, apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, tidak wajib umat Islam melaksanakan solat Jumaat (Rujuk Dr. MAZA). Walau bagaimanapun, solat fardhu Zohor perlulah dilaksanakan kerana ia adalah wajib ke atas umat Islam.

Saya gembira kerana dapat merakamkan foto kenangan bersama dengan semua ahli keluarga pada hari raya ini. Kami rakamkan foto kenangan itu di kedai gambar Photo Best di pekan Keningau. Inilah masanya ahli keluarga berkumpul kerana selama ini terikat dengan tugas sekitar Malaysia.

Sekian..
Related Posts with Thumbnails