08 December 2009

Jaga Kedai!





Bulan Disember 2009, tibalah giliran keluarga saya (Akub @ Jamree Dasim) menjaga kedai atau ringkasnya, jadi taukeh. Tempoh masanya ialah dari jam 6.30 am hingga jam 10.00 pm.


Maka, jadual jaga kedai pun dibuat antara kami adik beradik. Saya biasanya menjaga kedai pada waktu malam hingga jam 10.00 pm seterusnya buat closing akaun.


Sejarah kedai runcit ”Dasim & Keluarga", mulanya dimiliki oleh datuk saya Allahyarham Dasim bin Sandagob kemudian bertukar milik kepada 3 orang anaknya iaitu, Allahyarham Tasimin Dasim, Hj. Yunus Dasim dan En. Akub Dasim selepas beliau meninggal dunia.


Kedai ini dibuka awal tahun 1980-an untuk kemudahan orang-orang Kg. Baginda mendapatkan bekalan makanan tambahan. Pada masa itu, kemudahan pengangkutan ke pekan Keningau sangat kurang. Hanya segelintir sahaja penduduk yang memiliki kenderaan di samping jalan rayanya yang belum berturap. Antara barangan keperluan yang dijual pada masa itu ialah gula, garam, ajinomoto, maggie, biskut kering (tawar), gula-gula batu, keropok dan sedikit makanan tin seperti sardin king cup, tousi, sambal udang dan susu cap junjung. Ada juga tikam-tikam yang kena jual masa itu.


Saya masih ingat akan harga beberapa jenis barang yang dianggap sangat murah pada hari ini. Maggie 50 sen, ikan sardin king cup 80 sen, gula 1 kg RM1.00, biskut tawar 10 sen dan kuih dari kilang Ekonomi Bakery 80 sen sahaja. Ada seorang pemborong kuih berbangsa Cina dari kilang Ekonomi Bakery yang saya kenal sejak dari awal kedai runcit itu dibuka. Dia seorang lelaki yang tempang dan rapat dengan datuk saya dahulu. Sehingga tahun lepas 2008, dia masih menghantar kuih ke kedai dan baru-baru ini saya dengar dia sedang sakit. Saya berdoa agar beliau cepat sembuh dan dapat bekerja semula.


Saya bangga dengan kewujudan kedai runcit ini. Beberapa buah kedai runcit yang wujud sezaman dengannya telah tutup atau bankrap seperti kedai koperasi penduduk Kg. Baginda, kedai Allahyarham Sarubin dan kedai En. Jaulah. Rahsia kedai runcit ini masih bertahan lama ialah pengurusan kewangan yang cekap. Maksudnya, putaran wang masuk dan keluar diuruskan dengan cekap tanpa bebanan hutang yang melampau. Malah, setiap bulan ada sahaja keuntungan yang disimpan dalam bank. Prinsip yang ditekankan dalam mengendalikan kedai runcit ini ialah, jangan kasi hutang kepada mereka yang liat membayar semula hutang dan setiap hutang mesti dibayar sebelum berlaku pertukaran keluarga yang menjaga kedai.


Akhirnya, saya berharap agar berlaku perubahan pada masa akan datang misalnya, bangunan kedai akan dibesarkan, kandungan jualannya akan bertambah dan akan ada bayaran sewa untuk setiap jualan penduduk kampung yang diletakkan di dalam kedai. Selama ini sesiapa sahaja bebas meletakkan barangan jualan mereka tanpa dikenakan sewa. Lagipun, penjaga kedai terpaksa menjaga jualan mereka di samping barangan kedai lain sedangkan ia tidak membawa keuntungan kepada pendapatan kedai malah memenatkan sahaja taukeh kedai tersebut. Lebih teruk lagi, taukeh kedai terpaksa menggunakan bakul plastik kepunyaan kedai untuk membungkus barangan jualan mereka sedangkan bakul plastik itu dikhaskan untuk barang-barang dalam kedai sahaja.


Sekian...


Related Posts with Thumbnails