20 December 2009

Ponteng!

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ketibaan tahun baru 1431 H, tidak pernah menguburkan cerita-cerita politik yang sentiasa panas. Paling panas ialah cerita wakil rakyat ponteng sidang sehingga menyebabkan PM melenting. Tidak dinafikan ada sesetengah wakil rakyat tersebut yang mempunyai tugasan yang lebih mustahak dan mendesak (Saya difahamkan YB Bung Mokhtar Radin mendapat izin dari YB Nazri Aziz untuk tidak hadir bersidang) namun tidak dapat dinafikan juga terdapat segelintir wakil rakyat yang sengaja tidak hadir sidang kerana sebab-sebab yang hanya mereka sahaja tahu.

Ada kemungkinan wakil rakyat yang ponteng sidang ini merupakan bekas pelajar yang pernah ponteng sekolah pada zaman persekolahan mereka pada satu ketika dahulu, wallahu alam. Jika pada zaman sekolah, mereka ini adalah golongan yang telah mengkhianati amanah ibu bapa dan guru, maka sesudah bergelar YB, perbuatan ponteng sidang merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat. Rakyat memilih mereka untuk hadir ke sidang bagi menjadi jurubicara mereka. Ini kerana suara jeritan dan pekik lolong bagai orang yang terkena histeria atau polong, tidak akan ke mana. Suara YB di dewan sudah tentu berbeza. Suara itu merupakan suara yang bersifat rasmi.

Maka, sudah tibalah masanya bagi kepimpinan kerajaan mahu pun di sebelah pembangkang untuk bersikap telus bagi mendedahkan jadual kedatangan para wakil rakyat untuk tatapan dan pertimbangan rakyat. Rakyat sudah tentu kepingin melihat siapa yang bakal dinobatkan sebagai YB kedatangan penuh dan YB kaki ponteng. Ketelusan itu seharusnya dilaksanakan bukan sekadar penghias dinding parlimen atau bilik berhawa dingin para YB.

Jika pelajar ponteng sekolah akan dikenakan tindakan disiplin berdasarkan peraturan dan undang-undang sekolah, maka adalah satu perkara yang sangat malang jika YB yang ponteng sidang tidak dikenakan apa-apa tindakan. Sementara itu rakyat pula harus berfikir dahulu sebelum musim memangkah tiba. Kita tentunya tidak memerlukan kaki ponteng dalam sistem demokrasi yang kita sanjung. Fikirkan sejenak!

Sekian..
Related Posts with Thumbnails