15 December 2009

Menziarahi Kaabah.

Assalamualaikum w.r.b dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, selamat sudah Hajah Rohana Galudin isteri kepada Allahyarham Ustaz Ahmad Salam Ghazali mengerjakan haji di Mekah. Hanya beliau seorang sahaja calon tunggal dari Kg. Baginda Keningau yang diberi kelapangan oleh Allah untuk mengunjungi rumah Allah tersebut.

Banyak kisah manis yang beliau ceritakan sepanjang berada di Tanah Suci itu. Malah ole-ole dari Mekah juga beliau sedekahkan kepada penduduk kampung yang datang menziarahi beliau di rumah.

Sebenarnya ALLAH s.w.t menjadikan Kaabah sebagai Rumah Allah, tempat mulia untuk dikunjungi oleh orang ramai dan sebagai sebuah tempat yang aman serta dilimpahi penghormatan dan batu tanda bagi pelindung antara manusia selaku hambaNya dan penyeksaanNya.

Amalan menziarahi Kaabah untuk melakukan haji adalah satu daripada lima rukun Islam yang diwajibkan sekali seumur hidup kepada umat Islam yang berkemampuan. Seorang Islam yang telah menyempurnakan ibadat haji seolah-seolah dia sudah melengkapkan amalan agamanya.

Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat ke-27 yang bermaksud: "Maklumkanlah kepada sekalian umat manusia itu untuk melakukan ibadat haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai (unta dan lain-lain). Mereka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh."

Rasulullah s. a. w pula bersabda: "Barang siapa yang naik haji sedangkan dia tidak berkata kotor atau berbuat jahat, maka dia akan keluar dari hajinya suci seperti keluarnya bayi yang dilahirkan oleh ibunya."

Pahala bagi mereka yang berbuat baik pula bakal menerima balasan manis daripada Allah. Al-Hasan al-Bairi r. a berkata: "Bersedekah satu dirham di Kaabah akan dibalas dengan seratus ribu, begitu juga setiap kebajikan yang dilakukan akan diganda oleh Allah pahalanya dengan seratus ribu kali."

Apabila Rasulullah s. a. w kembali ke Makkah selepas penaklukannya, baginda mengadap Kaabah lalu berkata: "Sesungguhnya engkau ini sebaik-baik bumi Allah azzawajalla dan negeri Allah yang aku cintai. Kalaulah tidak kerana aku dihalau daripadamu, tentu aku tidak akan keluar meninggalkanmu."

Selain Makkah, Madinah juga sangat diutamakan oleh Rasulullah s. a. w. Segala amalan ibadat di dalamnya turut dilipatgandakan pahalanya. Rasulullah saw bersabda: "Satu kali sembahyang di dalam masjidku (Masjid Madinah) ini adalah lebih utama daripada seribu kali sembahyang di tempat lain, kecuali Masjidil-Haram (Kaabah)." Bersembahyang di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis turut digambarkan sebagai sama pahalanya seperti bersembahyang lima ratus kali.

Oleh yang demikian, tiga masjid yang dinyatakan di atas mempunyai tempat amat istimewa pada pandangan umat Islam. Selain ganjaran pahala besar yang dijanjikan Allah bagi sesiapa yang beribadah di situ, ia juga ada rentetan sejarahnya yang panjang dan tersendiri.

Masjid al-Aqsa misalnya, kini terhimpit dengan pergolakan membabitkan persoalan maruah antara Palestin dan Israel laknatullah. Manakala Makkah dan Madinah pula, hingga kini menjadi pusat pertemuan jutaan umat Islam sepanjang musim haji.

Amalan haji yang dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a. s itu diteruskan dan kembali dimurnikan sebaik saja Rasulullah membebaskan kota itu daripada belenggu kejahilan yang disimbolkan dengan kehidupan Abu Jahal, Abu Lahab dan sekutunya.

Sesungguhnya, kunjungan seseorang Islam ke Makkah dan Madinah amat bertuah kerana manusia paling mulia pernah hidup di atasnya dan dapat memberi impak besar sehingga membawa perubahan berkekalan dalam kehidupan seharian.

Semua amalan yang dilakukan sepanjang ibadah haji, sama ada rukun, wajib atau sunatnya, adalah menjurus kepada penegasan terhadap ketunggalan Allah yang selama ini sering diyakini melalui hati dan dilafazkan secara lisan.

Dengan sekian banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi ketika proses menyempurnakan tuntutan rukun Islam kelima ini, banyak hikmah dan rahsia bakal diperolehi seseorang bakal haji.

Selain ketenangan jiwa dan keberkatan hidup, perjalanan di dua tempat bersejarah itu seharusnya membuka mata dan minda mereka untuk melihat matlamat hidup ini tidak sekadar untuk kepentingan peribadi.

Hayatilah laungan talbiyah: "Kami datang kepadaMu, ya Allah. Kami datang kepada Tuhan yang tidak bersekutu dengan sesuatu apa pun. "Sesungguhnya segala pujian dan nikmat adalah milikMu. Tiada Tuhan melainkan Kau."

Akhirnya, marilah kita tanamkan niat untuk turut sama mengerjakan haji sebaik-baiknya sebelum umur kita semakin tua. Banyak masalah akan timbul bila kita tunaikan haji semasa umur tua nanti. Ingat, bukan hanya pasangkan niat sahaja, malah kena buka akaun di Tabung Haji dan simpanlah wang hingga cukup untuk kita mendaftar sebagai peserta yang bakal menunaikan rukun Islam Ke-5 itu. InsyaAllah…

Wallahualam…



Related Posts with Thumbnails