29 December 2009

Scaling Gigi


Assalamualaikum wrb dan salam sejahtera..


Tarikh 22 Disember 2009 lalu, saya telah penuhi perjumpaan dengan doktor gigi di Hospital Daerah Keningau untuk tujuan ”scaling gigi”. Appoinment ini telah dibuat sejak 23 November 2009 lalu. Kali terakhir saya buat scaling gigi ialah pada tahun 1999 yakni ketika lawatan dari jabatan pergigian ke Maktab Perguruan Keningau. Saya difahamkan bahawa tempoh menunggu selama sebulan digunakan untuk merawat gigi bagi setiap pesakit yang berdaftar. Ini disebabkan jumlah pesakit gigi yang terlalu ramai sedangkan doktor yang merawat adalah seorang sahaja.


Hari Isnin setiap minggu merupakan pendaftaran bagi mendapatkan rawatan gigi. Pendaftaran akan berakhir pada pukul 10.30 pagi. Maka tidak hairanlah bilangan pesakit yang berdaftar adalah ramai. Mereka beratur sejak dari awal pagi sebelum kaunter dibuka. Kebanyakkan daripada mereka datang dari seluruh pelusok daerah Keningau semata-mata hendak mendapatkan rawatan gigi yang murah. Untuk scaling gigi sahaja di premis kerajaan, bayarannya ialah RM3 manakala di klinik swasta ialah RM60.


Scaling gigi bermaksud menghilangkan tartar atau karang gigi. Tidak sakit, cuma terasa ngilu kerana doktor menggunakan mesin seperti gerudi untuk mengasah/membuang karang gigi. Pada peringkat awal, karang gigi tidaklah terlalu berbahaya, tetapi sebaliknya jika dibiarkan terlalu lama. Akibatnya, karang gigi akan menyebabkan radang gusi kerana toksin bakteria yang merangsang gusi secara berterusan. Kemudian, lama kelamaan gigi akan goyang dan akhirnya tercabut.

Saya pun bertanya kepada doktor (lupa nama), "Saya menggosok gigi tiga kali sehari, pun tetap ada. Mengapa doktor?" Antara butiran jawapannya, "Karang gigi terbentuk daripada sisa makanan yang melekat di permukaan gigi kerana tidak dibersihkan. Kemudian plak (sisa makanan) itu bercampur dengan air liur sehingga menjadi keras. Keadaan ini normal. Awak datang kembali tahun depan, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk kita buat scaling gigi.” Katanya.

Cara membersihkan karang gigi, boleh sahaja sekadar memberus gigi. Namun sekiranya sudah keras, hanya alat-alat scaller sahaja yang boleh membuangnya. Sebab itulah kita lihat dalam budaya Barat mereka menggunakan benang floss sesudah makan untuk membersihkan celah-celah gigi yang sukar dicapai berus gigi.


Sebenarnya benang flos ini amat penting untuk membersihkan plak yang bersembunyi di celah-celah gigi kita. Ini dapat mengelakkan gusi anda daripada mendapat keradangan gusi (gingivitis) ataupun penyakit gusi yang lagi teruk (periodontitis) yang menyebabkan penurunan gusi. Ia juga penting bagi mengelakkan celah gigi anda menjadi berlubang (karies). Apabila anda memberus gigi, hanya permukaan gigi sahaja yang boleh dibersihkan. Celah-celah gigi hanya dapat dibersihkan dengan menggunakan benang flos. Kadang-kadang ramai orang yang menggunakan pencungkil gigi untuk membersihkan celah-celah gigi. Pencungkil gigi jika tidak digunakan dengan berhati-hati boleh menyebabkan kerosakan pada gusi anda hingga menyebabkan gusi di celah gigi anda menurun. Benang flos juga boleh menyebabkan kerosakan gusi jika tidak digunakan dengan betul tetapi tidaklah seteruk pencungkil gigi kerana saiz pencungkil gigi yang lebih besar dari benang.


Akhirnya, sebelum kita mengalami masalah gigi yang serius, pastikan kita menjaga gigi secara berterusan. Di samping memberus gigi menggunakan kaedah yang betul, cuba cari peluang berjumpa dengan doktor gigi untuk rawatan. Saya pernah terdengar cakap rakan-rakan bahawa, sakit gigi adalah tempat kedua ”paling sakit” selepas bersalin. Wow! Biarlah wang habis kerana rawatan gigi daripada kita terus menerus menanggung sakit gigi..



Sekian..


Related Posts with Thumbnails