27 December 2009

Tragedi 26 Disember 2009!


Assalamualaikum w.r.b dan salam sejahtera.


Takziah kepada 10 buah keluarga yang mana ahli keluarga mereka terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di KM 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan jam 1.00 pagi kelmarin. Memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata akan kesedihan mereka apatah lagi menyaksikan orang tersayang pergi buat selama-lamanya. Apa yang mampu diharapkan ialah mereka bersabar kerana setiap kejadian itu ada hikmahnya.


Menurut laporan Berita Minggu hari ini 27 Disember 2007, bas ekspress dua tingkat Sani Ekspress Sdn. Bhd (Sani Ekspress) yang membawa 48 penumpang itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kangar dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di laluan terus tanpa henti Kuala Lumpur – Pulau Pinang.


Besi daripada pembahagi jalan menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan pertama (di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan kepada penumpang. Seramai 10 orang penumpang yang duduk di bahagian bawah bas tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan serius dan kecederaan teruk. Daripada laporan berita Buletin Utama semalam, terdapat mangsa yang putus kepala akibat rempuhan itu.


Hasil soal siasat ke atas pemandu bas berkenaan, Mohd Kamil Mohd Rashid 38, beliau mengaku mengantuk dan terlelap seketika ketika sedang memandu. Walau bagaimanapun, didapati pemandu itu tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Melalui siasatan lagi, pemandu itu bercadang untuk berehat (bertukar pemandu) sebaik berhenti di R&R Sungai Perak.


Pelbagai ulasan daripada golongan masyarakat prihatin yang diutarakan melalui emel ke Buletin Utama tv3 tadi. Ada di kalangan penonton yang mahu agar jadual perjalanan bas ekspress tidak dilakukan pada waktu malam. Mereka beranggapan bahawa memandu pada waktu malam akan menyebabkan mata mengantuk seterusnya boleh terlelap.


Namun demikian, saya beranggapan bahawa jadual perjalanan bas ekspress pada waktu malam tidak perlu diubah. Ia cuma perlu “dikemaskini” sahaja cara pemanduan. Sekiranya bas ekspress hanya beroperasi pada waktu siang maka, akan bertambah banyaklah lagi bilangan kenderaan di jalan raya. Hal ini akan menambahkan lagi jumlah kesesakan lalu lintas apatah lagi pada waktu puncak.


Kemaskini pemanduan yang dimaksudkan ialah, pemandu sepatutnya rajin membuka mulut untuk terus berbual dengan rakan penggantinya supaya dapat mengelakkan dirinya daripada terasa mengantuk. Kaedah ini sepatutnya menjadi amalan kepada pemandu terutama mereka yang memandu jarak jauh. Apa yang dapat kita perhatikan ialah, pemandu gantian daripada awal perjalanan terus terlelap membiarkan rakannya memandu kesepian.


Pelbagai cerita yang boleh dibincangkan bersama sepanjang pemanduan. Adakalanya, cerita itu lucu dan menyebabkan ketawa bersama. Keadaan ini akan membangkitkan semangat untuk terus memandu sehingga sampai ke destinasi.


Akhirnya, kepada sekalian pemandu, tidak kiralah kenderaan kecil atau besar, kecuaian sedikit dalam pemanduan akan mengakibatkan kecederaan atau kematian yang cukup memeritkan. Kesihatan yang baik, tidur yang cukup, kenderaan yang berkeadaan baik serta tidak mengambil alkohol atau dadah adalah perkara penting yang diutamakan sebelum memulakan pemanduan. Ingat! Orang tersayang sentiasa menanti kehadiran kita…


Wallahualam…..

Related Posts with Thumbnails