04 January 2010

Abdulrahman Wahid (Gus Dur)

Abdurrahman Wahid (lahir 7 September 1940 – meninggal 30 Disember 2009) juga dikenali sebagai Gus Dur) adalah Presiden Republik Indonesia yang keempat dan ketua Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) yang diasaskannya selepas kejatuhan pemerintahan Suharto. Beliau menggantikan Presiden B. J. Habibie setelah dipilih oleh Parlimen Rakyat (MPR), hasil daripada pilihan raya umum 1999. Tempoh jawatannya sebagai Presiden Indonesia bermula pada 20 Oktober 1999. Gus Dur menyelenggarakan pemerintahannya dengan bantuan kabinet Persatuan Nasional. Disebabkan serangan penyakit angin ahmar dan tuduhan rasuah, beliau diminta meletak jawatan oleh Persidangan Khas MPR dan pimpinannya digantikan oleh Megawati Sukarnoputri pada 23 Julai 2001.


Dilahirkan di Denanyar, Jombang, Jawa Timur, Gus Dur ialah anak sulung daripada enam adik-beradik. Ayahnya, K.H. Wahid Hasyim, ialah bekas Menteri Agama pada tahun 1949, sedangkan ibunya, Ny. Hj. Sholehah, adalah pengasas sekolah berasrama Islam di Denanyar. Datuknya sebelah ayah ialah K.H. Hasyim Asy'ari, pengasas Nahdlatul Ulama (NU), sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Indonesia. Sebaliknya, datuknya sebelah ibu ialah K.H. Bisri Syamsuri yang juga merupakan tokoh NU.


Walaupun Gus Dur selalu merayakan hari jadinya pada 4 Ogos, sebenarnya hari lahirnya bukan pada hari itu. Sebagaimana juga dengan banyak aspek dalam kehidupan peribadinya, banyak hal tidaklah seperti apa yang terlihat. Memang Gus Dur dilahirkan pada hari keempat dalam bulan kelapan, tetapi bukannya dalam penanggalan takwim Barat, tetapi dalam penanggalan takwim Islam. Oleh itu tarikh lahir beliau sebenarnya ialah 4 Sya'ban 1940, iaitu 7 September 1940.


Secara terbuka, Gus Dur pernah menyatakan bahawa beliau berketurunan daripada Tan Kim Han, seorang Cina Muslim yang membantu Raden Patah untuk merampas kuasa daripada Kerajaan Majapahit dan mengasaskan Kerajaan Demak. Berdasarkan penyelidikan Louis-Charles Damais, seorang penyelidik Perancis, Tan Kim Han dicamkan sebagai "Syekh Abdul Qodir Al-Shini" sewaktu makamnya ditemui di Trowulan.


Gus Dur memulakan pendidikan awalnya dengan mengaji Al-Quran daripada K.H. Hasyim Asy'ari, datuknya. Sewaktu berumur lima tahun, beliau sudah fasih membaca Al-Quran. Gus Dur menuntut di sekolah rendah Jombang apabila ayahnya pindah ke Jakarta. Selepas pendidikan sekolah rendahnya pada tahun 1953, beliau menuntut di Sekolah Menengah Ekonomi Pertama (SMEP) di Gowongan, Yogyakarta, sambil belajar di sekolah berasrama Krapyak. Oleh sebab keadaan dalam asrama sekolah itu amat terbatas, Gus Dur menginap di rumah Haji Junaidi, pengerusi pertubuhan Muhammadiyah tempatan dan orang berpengaruh di SMEP. Beliau mengaji Islam dari Haji Junaidi pada waktu subuh selepas solat, belajar di SMEP pada waktu siang, dan kemudian pada waktu malam, menyertai perbincangan dengan Haji Junaidi dan ahli-ahli Muhammadiyah.


Gus Dur meneruskan pendidikannya di Sekolah Berasma Tegalrejo Magelang, Java Tengah setelah pendidikan SMEP. Selepas menghabiskan dua tahun di sana, beliau yang berumur 20 tahun ketika itu, pindah ke Sekolah Berasrama Tambak Beras di Jombang untuk menjadi ustaz serta ketua keselamatan sekolah itu. Sekolah itu dimiliki oleh bapa saudaranya, K.H. Abdul Fatah.


Sewaktu berumur 22 tahun pada tahun 1962, Gus Dur pergi ke Mekah untuk menunaikan haji, dan kemudian melanjutkan pendidikannya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Pada tahun 1966, beliau masuk Fakulti Agama Universiti Baghdad Iraq, dan memperoleh ijazahnya pada tahun 1970.


Selepas pendidikannya di Baghdad, Gus Dur hendak meneruskan pendidikannya di Eropah tetapi keperluan untuk masuk ke universiti, terutamanya keperluan penguasaan bahasa, terlalu tinggi. Umpamanya, untuk belajar pengajian klasik di Kohln, seseorang harus menguasai bahasa Ibrani, bahasa Greek atau bahasa Latin). Beliau kemudian pergi ke Universiti McGill di Kanada untuk mepelajari pengajian Islam dengan lebih mendalam. Gus Dur pulang ke Jawa pada tahun 1971 untuk memulakan kerjayanya.


Kebanyakan daripada perbalahan Gus Dur tertimbul daripada jenakanya yang penuh dengan sindiran serta percakapannya yang berterus-terang. Beliau dianggap sebagai seorang peramah dan pelawak, sebagaimana yang boleh diperlihatkan daripada nama samaran mesranya, "Gus Dur" ("Gus" merupakan abang atau kawan, sedangkan "Dur" ialah sebahagian namanya, Ab-'dur'-rahman).


Pada era Ketertiban Baru Suharto, walaupun Gus Dur kelihatan seolah-olah seorang yang berpendirian sederhana dan yang mengelakkan perbalahan, beliau sebenarnya merupakan seorang pembangkang berdikari yang amat licik. Beliau dianggap oleh Presiden Suharto sebagai suatu ancaman yang serius kerana pertubuhannya, Nadhlatul Ulama, ialah pertubuhan Islam yang terbesar di Indonesia dan di seluruh dunia, dengan bilangan pengikut hampir sebanyak 40 juta orang. Suharto berulang kali mencuba menyingkirkan beliau daripada pucuk pimpinan Nadhlatul Ulama dan menggantikannya dengan seorang yang lebih bekerjasama, tetapi semua percubaan ini tergagal. Kegagalan ini disebabkan oleh tradisi kepimpinan Nadhlatul Ulama yang amat konservatif, serta penghormatan besar yang diilhami dan diberikan kepada Gus Dur. Secara tradisi, Nahdatul Ulama telah dipimpin oleh ahli-ahli keluarga dan keturunan Hasyim Asy'ari, pengasas pergerakan besar-besaran itu (Gus Dur adalah cucu lelaki Asy'ari). Sejak masa itu, Gus Dur juga telah mengikat tali persahabatan dengan banyak tokoh Indonesia yang utama, termasuknya orang bukan Islam seperti paderi Jesuit Frans Magnis-Suseno yang amat dihormati, serta mendiang pejuang kebangsaan, Jeneral Benny Moerdani, yang beragama Katolik.


Pada Jun 1999, PKB Wahid menyertai Pilihan Raya Umum dan memenangi 12% daripada jumlah undi, sedangkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) memenangi 33%. Bagaimanapun, keputusan ini tidak menjamin pemilihan Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden, disebabkan kuasa untuk memilih Presiden dan Naib Presiden pada peringkat itu masih di dalam tangan Parlimen Rakyat (MPR). Sewaktu MPR memulakan persidangan pada Oktober 1999, Amien Rais, Pengerusi MPR, membentuk sebuah parti campuran yang terdiri daripada parti-parti Islam dan Golkar, dikenali sebagai "Paksi Pusat". Parti campuran ini mencalonkan Gus Dur sebagai Presiden dan beliau menewaskan Megawati dalam pilihan raya Presiden demokrasi yang pertama di Indonesia. Sewaktu menerima berita itu, penyokong-penyokong Megawati memulakan rusuhan yang meluas. Untuk menghentikan rusuhan tersebut, Gus Dur memastikan bahawa Megawati dilantik sebagai Naib Presiden.


Disebabkan oleh penyakit yang amat teruk (Gus Dur telah menghidap strok berbilang yang menyebabkannya hampir buta) dan tuduhan-tuduhan rasuah yang tidak berasas, Gus Dur didakwa oleh sebuah kumpulan campuran politik yang diketuai oleh naib presiden dan penggantinya, Megawati Sukarnoputri, pada Julai 2001. Sebahagian besar daripada gerakan awam Indonesia menentang pemecatan Gus Dur, dan memperlihatkan tindakan itu sebagai suatu percubaan yang nyata oleh sisa-sisa rasuah Ketertiban Baru Suharto, tentera, dan parti Megawati untuk menghalang proses pembaharuan yang dimulakan oleh Gus Dur.


Walaupun Gus Dur kelihatan tidak memberikan perhatian penuh terhadap persoalan-persoalan kerajaan, beliau berjaya untuk memencarkan banyak aspek pentadbiran Indonesia. Beliau juga memansuhkan kebanyakan daripada undang-undang yang mendiskriminasikan orang Cina Indonesia, dan juga mengakui bahawa keturunan neneknya sebelah ibu adalah sebahagian daripada orang Cina. Beliau membubarkan Kementerian Maklumat negara yang menyekat kebebasan akhbar selama berdekad-dekad, dan menggalakkan perkembangan kegiatan-kegiatan intelek dan seni.


Oleh sebab Gus Dur merupakan seorang penyokong kebebasan dan toleransi yang terus terang, kegiatan-kegiatan intelek berhaluan kiri yang ditindas dengan kejam oleh Ketertiban Baru selama melebihi tiga dekad juga berkembang pada tempoh perjawatannya sebagai presiden. Buku-buku sosialisme dan Marxisme, poster-poster Che Guevara, dan kumpulan-kumpulan intelek berhaluan kiri berkembang dengan meluas, mungkin sebagai reaksi yang sangat gembira terhadap pembebasan daripada pemerintahan Suharto yang amat menindas.


Walaupun didakwa, Gus Dur masih amat dihormati dan beliau masih aktif dalam politik Indonesia dengan ulasannya yang lucu dan penuh sindiran terhadap politik Indonesia. Beliau mengaku secara terbuka bahawa beliau tidak mengundi untuk pusingan kedua dalam pilihan raya presiden Indonesia kerana hendak menandakan bantahannya terhadap Jawatankuasa Pilihan Raya Umum (KPU) yang tidak melayakkannya untuk pencalonan.


Gus Dur baru-baru ini menjadi salah satu daripada pemimpin-pemimpin kumpulan campuran politik, "Campuran Nusantara Bangkit Bersatu", bersama-sama dengan tokoh-tokoh lama yang lain, seperti Try Sutrisno (bekas Jeneral Ketertiban Baru serta Naib Presiden), Wiranto (bekas pemimpin tentera semasa Ketertiban Baru dan tempoh pembaharuan), pendakwanya Megawati Sukarnoputri, serta Taufik Kiemas (suami Megawati). Kumpulan campuran itu telah dibentukkan untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan Indonesia yang diketuai oleh Susilo Bambang Yudhoyono dan Jusuf Kalla, khususnya terhadap penarikan balik subsidi yang tidak popular untuk harga jualan negara bagi minyak bahan api bertapis baru-baru ini (perniagaan minyak bahan api bertapis di dalam negara dimonopoli oleh syarikat kerajaan, 'Pertamina').


Gus Dur ialah orang yang mengilhami Institut Wahid, sebuah pertubuhan bukan untung yang diketuai oleh Yenni Wahid, anak perempuannya. Beliau juga berkhidmat sebagai penaung, ahli lembaga pengarah dan penasihat kanan untuk Yayasan LibForAll ("Kebebasan untuk Semua") yang bertujuan untuk mengurangkan keterlaluan agama dan mencemarkan terorisme di seluruh dunia.


Antara tulisan-tulisannya yang lain, Gus Dur ialah pengarang untuk "Islam Benar lawan Islam Salah", sebuah rencana yang sangat besar pengaruhnya yang diterbitkan oleh Jurnal Wall Street pada 30 Disember 2005. Dalam rencana itu, beliau meminta "orang yang baik hati daripada setiap kepercayaan dan negara" untuk bersatu bagi tujuan menewaskan ideologi kebencian agama yang mendasari dan menghidupkan terorisme.



Rujukan

Kompas.com



Related Posts with Thumbnails